fbpx
PASUKAN RNF Racing tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan terutama mengenai memilih pelumba pada musim depan.

RNF Racing muktamad pelumba baharu pada Ogos – Razlan Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN RNF Racing dilihat mula mengatur perancangan mereka menjelang persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi musim 2023 sejurus menamatkan kerjasama dengan Yamaha dan beralih menyertai pengeluar jentera Aprilia musim depan.

Pasukan RNF Racing yang dimiliki anak watan dari Malaysia, Datuk Razlan Razali yang be­kerjasama dengan Yamaha sejak 2019 akan menjadi pasukan satelit Aprilia dengan perjanjian selama dua tahun dan menggunakan jentera RS-GP.

Razlan mendedahkan kepada Kosmo! semalam, antara perubahan yang akan berlaku dalam pasukannya ialah kemasukan pelumba baharu, namun beliau tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana ingin mengisi pelumba terbaik.

Ketika ini, pelumba Portugal, Miguel Oliveira dikaitkan me­nyertai pasukan RNF dengan perjanjian selama dua tahun. Selain Olivera, Alex Rins dan Alex Marquez turut mendapat perhatian Razlan.

“Sudah pasti kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan terutama mengenai keputusan untuk memilih pelumba pada musim depan.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menunggu kerana saya lihat banyak pelumba yang berpengalaman pada MotoGP dan situasi juga berubah selepas Suzuki membuat keputusan meninggalkan MotoGP musim depan.

“Ramai pengurus pelumba datang berjumpa kami sejak kami membuat pengumuman menyer­tai Aprilia pada 2023. Ketika ini, kami mempunyai pilihan dan masa untuk membuat keputusan terbaik. Jadi, keputusan akhir akan diputuskan pada Ogos nanti atau selepas perlumbaan sete­rusnya di Silverstone,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib dua pelumbanya iaitu Andrea Dovizioso dan Darry Binder, Razlan menegaskan, segalanya akan terjawab pada Ogos nanti.

“Kita tidak jangka Dovizioso akan berdepan masalah untuk mendapatkan keserasian dengan Yamaha. Mungkin susah buatnya beralih ke Yamaha selepas tujuh hingga lapan tahun bersama Ducati.

“Sememangnya kita kecewa tetapi saya fikir dia (Dovizioso) telah melakukan sebaik yang boleh. Tetapi saya bangga dengan Binder kerana dia melakukan yang terbaik meskipun ini tahun pertamanya pada MotoGP selepas beralih daripada Moto3,” tambah Razlan.

POPULAR