fbpx
Radzi berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan tambahan dan padang SK Putrajaya Presint 18(2) di sini, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

KPM kenal pasti lokasi padat penduduk bagi pembinaan sekolah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti beberapa lokasi di negeri Selangor dan Johor yang memerlukan pembinaan sekolah baharu berdasarkan peningkatan mendadak jumlah penduduk di kawasan tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kawasan-kawasan perumahan yang semakin pesat membangun.

“Ada beberapa lokasi di Selangor yang telah dikenal pasti dan Johor pun ada kawasan tertentu yang mana jumlah penduduknya meningkat dengan mendadak.

“Ini kerana pembangunan perumahan yang terlalu cepat, jadi kita ambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada kawasan ini bagi mengelakkan keadaan bila mana perumahan siap tetapi sekolah tidak siap.

“Kita (sudah) hadapi cabaran sebelum ini contohnya di Bandar Saujana Putra, kawasan yang sudah lama membangun tetapi sekolah terbengkalai dalam satu tempoh yang panjang tapi ia telah disiapkan beberapa bulan lepas sekali gus memberi kemudahan yang cukup baik kepada ibu bapa dan anak-anak di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(2) di sini hari ini.

Menurut beliau, projek pembinaan di SK Putrajaya Presint 18(2) itu melibatkan dua komponen pembangunan utama iaitu satu blok bangunan bagi 18 bilik darjah dan padang bola melibatkan dua bidang tanah seluas 5.27 hektar.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan, secara purata sebanyak lapan hingga 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun berdasarkan perbelanjaan pembangunan.

Bagaimanapun katanya, kekangan kewangan merupakan cabaran utama yang dihadapi dalam pembinaan sesebuah sekolah selain daripada tanah.

“Contohnya di Klang, Selangor ia merupakan kawasan yang paling padat jadi beberapa usaha telah dibuat untuk kita dapatkan sekolah-sekolah baharu di kawasan tersebut, namun begitu di kawasan padat ini kekangan utamanya adalah tanah, tak semua kawasan ini mempunyai tanah yang telah tersedia atau keluasan dan kedudukannya yang sesuai,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM sentiasa mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung situasi penularan Influenza A di sekolah.

“Esok kita akan berbincang lagi untuk melihat keadaan semasa supaya murid dan pelajar dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat selain memastikan segala tata cara atau proses jika berlaku sebarang kes yang memerlukan tindakan sewajarnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

POPULAR