fbpx

Gergasi Merah sedia amuk Harimau Selatan – Mahfizul Rusydin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain Selangor FC diyakini mendapat semula rentak selepas mencatat kemenangan bergaya ke atas Sarawak United pada saingan Liga Super minggu lalu.

SELANGOR FC enggan menoleh ke belakang sebaliknya berharap dapat meneruskan momentum menjelang aksi menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Pengurus skuad Gergasi Merah, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, kejayaan melakar kemenangan 7-0 nyata me­nyuntik semangat barisan pemain untuk merekodkan keputusan positif ke atas JDT nanti.

“Kita boleh lihat bagaimana pemain sudah mula mendapatkan semula rentak dengan mencatat kemenangan bergaya ke atas Sarawak United minggu lalu.

“Namun, harus ditegaskan bahawa JDT kekal sebagai JDT yang mana kita tahu kualiti pasukan sememangnya berbeza khususnya ketika bermain di laman sendiri dengan kita pernah tewas besar di sana dua tahun lalu.

“Apa yang penting, saya percaya ketua jurulatih (Michael Feichtenbeiner) sudah ada pe­rancangan taktikal tersendiri dan berharap semua pihak fokus pandang ke depan untuk mencatat keputusan positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulat lanjut, Mahfizul mengesahkan hampir semua pemain cergas untuk diturunkan selain berharap siapa sahaja yang diberikan peluang, perlu waspada dengan ancaman jentera serangan skuad Harimau Selatan yang diketuai oleh Bergson da Silva.

“Buat masa ini, semua pemain tidak mempunyai masalah untuk diturunkan dalam kesebelasan utama kecuali Halim Saari dan Eky (Shahrel Fikri Md. Fauzi).

“Saya harap siapa sahaja yang diberi peluang perlu berjaga-jaga dengan ancaman serangan pasukan lawan khususnya Bergson dan perlu elak daripada melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN