fbpx

Artis Malaysia perlu contohi Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEGILAAN naskhah dari Korea Selatan seperti muzik, drama dan filem yang mendunia ketika ini menjadi bukti bahawa produk dunia hiburan menjadi salah satu faktor penting dalam menaikkan sesebuah negara termasuklah pembangunan ekonomi.

Mengambil contoh, nama besar dalam dunia K-pop iaitu kumpulan BTS yang menjadi aset kepada negara Korea Selatan ke­rana pengaruh dipegang mereka cukup luas, tidak hanya di negara sendiri bahkan seluruh dunia.

Termasuk industri perfileman dan drama negara tersebut yang sangat besar nilainya di mata peminat ketika ini. Lihat saja penerimaan global siri Squid Game dan filem Parasite.

Bercakap tentang pengaruh dunia hiburan terhadap nama dan imej sesebuah negara, pelbagai pendapat diutarakan orang ramai tentang industri tempatan yang realitinya jauh ketinggalan di belakang berbanding negara-negara jiran lain.

Misalnya Indonesia ataupun Thailand, mereka jauh ke depan mencorakkan industri hiburan dengan pelbagai produk berkua­liti seperti filem dan iklan yang dijulang di peringkat global.

Tetapi Malaysia? Sedikit perlahan mengikut langkah negara jiran lain dalam misi menjadikan industri hiburan duduk setara dengan negara-negara Asia lain.

Perkara berkenaan diakui dua pelakon popular, Alvin Chong dan Aiman Hakim Ridza yang meluahkan pandangan terhadap perkembangan industri hiburan negara ketika ini.

Bagi Alvin, jika hendak me­lakukan perubahan, bukan hanya satu pihak yang perlu memainkan peranan tetapi ini soal kerjasama dari semua yang terlibat, termasuklah audiens.

“Audiens kena ubah persepsi terhadap drama lokal misalnya. Kalau tengok dalam Instagram atau TikTok, belum apa-apa lagi, sudah ada yang mengecam. Sedangkan di pihak kami sebagai pelaku seni, kami sudah lakukan yang terbaik untuk audiens.

“Tetapi saya faham mengapa audiens jadi begitu, sebab kita ada banyak karya yang kurang membanggakan. Jadi mereka sudah letakkan ‘mind set’ bahawa kebanyakan karya kita sekarang susah nak ke depan,” ujarnya.

Bersependapat dengan Alvin, Aiman juga percaya, seperti apa yang berlaku di Korea Selatan, industri hiburan memang menjadi salah satu ‘kunci’ utama membangunkan ekonomi negara.

Tetapi ujarnya, kelembapan industri hiburan sekarang mungkin berlaku disebabkan kita terlalu memfokuskan terhadap kuantiti berbanding kualiti.

“Kalau ada kualiti, kita akan berjaya mencipta harta intelek yang mampu dibanggakan untuk industri. Malah, ini juga bukan soal dunia hiburan semata-mata.

“Kalau dunia hiburan kita bagus, secara langsung akan menjadikan negara kita dipandang di mata dunia. Sama seperti apa yang berlaku terhadap Korea Selatan sekarang.

“Sebab mereka bangga dan buat betul-betul dengan apa yang mereka ada. Makanan, fe­syen, muzik dan budaya. Jika masuk ke pusat beli-belah, semuanya tentang Korea. Saya percaya Malaysia juga sedang ke arah itu, tetapi semuanya tentang masa,” kata Aiman.

Kedua-dua pelakon itu yang membintangi drama She Was Pretty versi Malaysia (adaptasi versi asli dari Korea Selatan) memandang peluang tersebut sebagai pembuka jalan untuk lebih banyak naskhah sebegitu dibuat selepas ini.

“Drama ini membuktikan bahawa industri kita boleh buat naskhah berkualiti sama se­perti orang lain. Bukan tak boleh. Saya yakin, jika ada lebih banyak naskhah sebegini, generasi muda terutamanya akan lebih menghargai industri seni,” ujar Aiman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI