PETALING JAYA – Rakyat perlu bersedia berdepan kenaikan harga barang yang dijangka mula berlaku Julai ini berikutan pelbagai faktor dalaman dan luaran.
Bukan sahaja barangan keperluan asas yang dijangka mengalami kenaikan harga, malah makanan yang dijual di kedai makan dan gerai juga bakal meningkat.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kenaikan harga barang yang berlaku kini mempunyai pelbagai kesan kepada corak perbelanjaan masyarakat.
Katanya, orang ramai perlu mengambil maklum bahawa apabila terdapat pemansuhan atau pengurangan subsidi, itu adalah satu langkah dasar fiskal yang diambil kerajaan untuk mengurangkan inflasi yang berlaku dalam negara.
“Tetapi, perkara ini akan mengakibatkan peningkatan harga barang keperluan. Perbelanjaan serta kos sara hidup masyarakat akan meningkat dan akan mengurangkan kesejahteraan atau kuasa beli mereka.
“Jadi, dalam keadaan ini bagi golongan berpendapatan tinggi atau kelas atas, mereka mungkin tidak merasainya secara drastik, tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah terutama B40, mereka bakal terkesan kerana ia akan melibatkan perubahan yang agak besar.
“Tambahan pula bagi isi rumah yang mempunyai ahli ramai terutama kanak-kanak yang sememangnya dalam proses pembesaran atau warga emas yang memerlukan kos tambahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan harga barang ketika ini sukar dikawal kerana melibatkan pelbagai faktor dalaman dan luaran.
Katanya, keadaan dijangka berterusan selama beberapa bulan akan datang kerana ia turut melibatkan isu-isu yang berlaku di negara-negara luar.
“Berdasarkan faktor luaran ketika ini kita boleh lihat melibatkan krisis Russia dan Ukraine serta rantaian bekalan makanan. Rantaian bekalan makanan pula melibatkan bahan logistik iaitu banyak menggunakan bahan bekalan api seperti minyak dan gas.
“Harga minyak dan gas juga tinggi, jadi perkara itu pula menyebabkan harga transportasi menjadi mahal.
“Kemudian, faktor cuaca yang menyebabkan tanaman tidak menjadi sehingga mengurangkan bekalan dan juga ada negara yang mula mengamalkan polisi mementingkan ekonomi domestik,” ujarnya.














