fbpx

Cungkil bakat pemanah berkuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peserta menunjukkan kebolehan memanah sasaran sambil menunggang kuda.

AKSI bersahaja kanakkanak lelaki berusia 11 tahun melakukan aktiviti memanah sambil menunggang kuda ternyata berjaya memukau para penonton pada pagi itu.

Meskipun bertubuh kecil, namun Muhd. Aqib Indra Shahril dapat mengawal kudanya dengan baik, selain
berjaya meletakkan anak panah tepat ke sasaran.

Begitulah sebahagian daripada aksi menarik dipamerkan Muhd. Aqib yang juga salah seorang peserta Liga Memanah Berkuda (LMB) 2022, di Cape Cavallho, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

LMB 2022 merupakan acara tahunan yang diadakan bagi mencari bakat baharu bagi mewakili negara ke
pertandingan memanah berkuda yang berlangsung di Korea Selatan.

Menurut Muhd. Aqib, dia sama sekali tidak gentar untuk bersaing dengan peserta lain termasuk
golongan dewasa yang lebih berpengalaman dan hebat pada LMB 2022.

Katanya, LMB merupakan platform terbaik buatnya untuk mengukur tahap kemampuan diri serta bersaing dengan peserta hebat lain di dalam negara.

“LMB merupakan pentas terbaik buat saya untuk merasai pengalaman bersaing secara kompetitif. Walaupun masih muda, saya tidak takut untuk bersaing,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Muhd. Aqib memberitahu, biarpun pernah beberapa kali terjatuh ketika menunggang kuda, dia tidak pernah serik meneruskan minatnya dalam sukan diceburi sejak tiga tahun lalu itu.

Ceritanya, minat dalam aktiviti memanah berkuda didorong oleh bapanya yang sering membawanya ke sebuah kandang kuda milik rakan di Batu Kurau, Perak.

“Mula-mula bapa hanya membawa saya melawat sebuah ladang ternakan kuda. Lama-kelamaan, timbul rasa minat dan akhirnya terus jatuh cinta dengan sukan ini,” katanya.

Menariknya, pertandingan yang diadakan secara bersiri anjuran Malaysia Horseback Archery Federation
(MHAF) itu berjaya menarik penyertaan 60 orang peserta.

Wakil penganjur yang juga jurulatih sukan memanah berkuda, Abu Dzar Zakaria berkata, acara itu
berperanan sebagai pembangunan memanah berkuda yang dibuat melalui pertandingan.

LMB 2022 diadakan bagi mencari bakat baharu bagi mewakili negara di pertandingan
memanah di luar negara.

Katanya, ia juga berperanan menyusun keputusan ranking bagi menentukan prestasi pemanah berkuda,
di samping menggalakkan peserta berlatih bagi mengekalkan prestasi mereka.

“LMB mula dianjurkan pada setiap tahun sejak 2019 dengan lima siri pertandingan. Pada 2020 dan
2021, hanya satu siri sahaja dapat dilangsungkan ekoran pandemik Covid-19.

“Pada tahun ini, baru satu siri sahaja dilangsungkan dan akan ada lagi siri seterusnya. Peserta yang menyertai LMB akan mempunyai ranking dan berubah mengikut siri,” jelasnya.

Abu Dzar berkata, pihaknya berharap agar lebih ramai pemanah berkuda baharu dapat digilap dan diketengahkan menerusi pertandingan, sekali gus dapat mewakili negara pada masa depan.

Terangnya, sebelum wujud badan kebangsaan dan penganjuran LMB, atlet memanah berkuda negara sebelum ini terdiri daripada orang yang sama kerana tiada pemilihan terbuka dilakukan.

“Kami menyasarkan lebih banyak bakat baharu dapat diketengahkan untuk mewakili negara.

“Kami juga bakal menganjurkan pertandingan ini pada peringkat antarabangsa.

“Pertandingan berkenaan akan disertai oleh pemanah berkuda luar negara. Ini bagi memberi pendedahan kepada pemanah berkuda tempatan yang tidak berpeluang ke luar negara,”
ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI