“HARGA barang terutama makanan sejak akhir-akhir ini boleh dikatakan semuanya naik,” keluh Mohd. Syahmi Ismail, 33.
Dia yang bekerja dalam sektor swasta menyatakan, perbelanjaan hariannya juga bertambah berikutan kenaikan harga tersebut. Misalnya, harga makanan yang dibeli untuk makan tengah hari di tempat kerja telah meningkat antara RM1 hingga RM4.
“Kebanyakan peniaga makanan menyatakan mereka terpaksa menaikkan harga jualan kerana harga barang mentah semakin meningkat.
“Bukan harga ayam saja yang naik, malah harga ikan turut naik. Sebelum ini saya beli seekor ikan siakap pada harga sekitar RM17 sekilogram, tetapi kini meningkat sehingga RM23 untuk berat yang sama,” ulasnya.
Tambah Mohd. Syahmi, dia sekeluarga terkesan dengan kenaikan harga tersebut dan terpaksa mengurangkan tabungan bulanan bagi menampung kenaikan harga tersebut.
Sebagai langkah penjimatan, dia yang yang tersenarai dalam golongan B40 juga kini bertindak membawa bekal dari rumah ke tempat kerja.
Sememangnya isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga makanan hangat diperkatakan pada masa ini.

Pun begitu, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan baru-baru ini menegaskan bahawa masalah itu belum lagi sampai ke tahap krisis makanan memandangkan bekalan dalam negara masih mencukupi, cuma diakui terdapat sedikit gangguan bekalan makanan.
Bagi mendalami isu ini, Felo Kanan Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad berpendapat, faktor kenaikan harga barangan itu perlu dilihat dari dua sudut iaitu dari luar negara dan dalam negara sendiri.
Menurutnya, faktor luar negara menyebabkan krisis makanan dunia kini bukan lagi satu igauan tetapi akan menjadi nyata menjelang 2023.
“Ini kerana, krisis ini diparahkan dengan tiga penjuru (3P) iaitu pandemik, perubahan cuaca dan peperangan.
“Pandemik masih memberi kesan ke atas rantaian bekalan. Ia berlanjutan kerana China masih melaksanakan lockdown yang menyebabkan khidmat perkapalan untuk import dan eksport tergendala sedangkan banyak negara berdagang dengan China,” jelasnya.
Sementara itu, terang Fatimah, perubahan cuaca juga mengakibatkan krisis ini berlaku apabila cuaca kering dan suhu panas yang tinggi telah memaksa India yang merupakan pengeluar gandum kedua terbesar dunia mengharamkan eksport gandum. Begitu juga Amerika Syarikat dan Kanada yang turut mengalami penurunan pengeluaran gandum kerana cuaca.
Selain itu, katanya, peperangan antara Russia dan Ukraine juga mengundang kepada masalah ini.
“Sekatan ekonomi ke atas Russia juga menjejaskan bekalan petrol dan gas asli dunia, lantas meningkatkan harga komoditi dan bahan api.

“Ini menyebabkan harga baja dan kos pengangkutan kepada petani, pengusaha dan pengguna juga meningkat,” katanya.
Menurutnya, dari sudut faktor dalam negara pula menyaksikan Malaysia tidak mengeluarkan makanan yang mencukupi untuk membendung inflasi dan kejutan masalah bekalan makanan yang meruncing ini.
Jelasnya, Malaysia sebagai negara pengimport bersih makanan akan menerima tempias hebat kerana hal ini.
“Malaysia mengimport 90 peratus keperluan daging kambing dan lembu, 79 peratus sayur-sayuran, 37 peratus beras, 22 peratus buah-buahan dan 36 peratus susu pada tahun 2020.
“Bahan yang diimport ini merupakan makanan utama untuk rakyat,” katanya.
Terangnya, kini harga makanan meningkat lebih tinggi daripada paras normal iaitu paras harga sebelum pandemik.Malah, peratus kenaikan harga itu boleh dilihat dan dihitung di Dashboard MyPrice yang disediakan oleh kerajaan.
Katanya lagi, masalah kenaikan harga ini akan terus meruncing jika perang Russia dan Ukraine masih berlanjutan, perubahan cuaca semakin buruk dan masalah rantaian bekalan dunia masih berterusan.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, bagi mengatasi krisis tersebut langkah jangka pendek dan panjang perlu diambil.

Katanya, langkah jangka pendek yang boleh diambil adalah dengan membuka permit import (AP) yang mana ia boleh menggalakkan persaingan sihat.
“Langkah ini juga boleh membantu penyumberan makanan daripada pelbagai sumber dari pasaran antarabangsa. Kemasukan import makanan ini akan meningkatkan bekalan makanan tempatan sekali gus menurunkan harga,” jelasnya.
Sementara itu, untuk langkah jangka panjang, Fatimah berkata, sudah tiba masanya Malaysia untuk fokus kepada ‘Polisi Makanan Diutamakan’.
Menurutnya, polisi ini harus diutamakan kerana cabaran perubahan cuaca adalah fenomena jangka masa panjang yang tidak menentu.
“Selain itu, ia juga akan memberi jaminan sekuriti nutrisi untuk penduduk tempatan di samping dapat mengurangkan aliran keluar mata wang asing iaitu dengan melaksanakan polisi penggantian import.
“Hal ini juga dapat memperkasa biodiversiti tempatan dan mempelbagaikan jenis beras, sayur-sayuran dan buah-buahan di samping mendinamikkan sektor perkebunan dan penternakan tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga barang mentah, kelemahan pertukaran mata wang, peperangan dan sekatan eksport menjadi penyebab utama kepada masalah ini.
“Faktor-faktor ini berlaku secara serentak dan ia memberi kesan kepada peniaga di mana kos operasi mereka meningkat. Bagi mengurangkan kadar kerugian, peniaga sendiri terpaksa menaikkan harga jualan. Jika kenaikan harga jualan ini tidak dilakukan mereka terpaksa tanggung kerugian,” katanya.
Tambahnya, bagi mengatasi masalah ini apa yang boleh dilakukan dan sedang dilakukan kini adalah dengan memberi subsidi terhadap barangan tertentu.
Sebagai contoh, kerajaan telah memberi subsidi kepada penternak bagi membantu mengurangkan kos dan ini sekali gus membolehkan kadar kenaikan harga dapat diminimumkan.
Namun begitu, Mohd. Yusof tidak menafikan ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan kadar harga jualan yang tinggi dan tidak wajar hingga membebankan pengguna yang lain.
“Kenaikan harga sesuatu barang ini bergantung kepada kenaikan kos barang mentah. Namun, peniaga jangan mengambil kesempatan menaikkan peratus kenaikan harga melebihi apa yang sepatutnya.
“Kerajaan harus mengambil tindakan kepada peniaga-peniaga yang cuba mengambil kesempatan,” tegasnya.














