SEIRING dengan permasalahan alam sekitar global yang semakin membimbangkan, banyak pihak kini tampil ke depan untuk bertindak bagi menangani isu sejagat ini.
Permasalahan berkaitan alam sekitar tersebut meliputi pencemaran alam terutamanya disebabkan penggunaan bahan plastik, pemanasan global dan perubahan cuaca ekstrem.
Di Malaysia juga semakin banyak pihak atau syarikat yang terpanggil untuk sama-sama membangkitkan kesedaran alam sekitar kepada masyarakat.
Baru-baru ini, Garnier Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengadakan aktiviti pembersihan di Pantai Remis, Kuala Selangor sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar Garnier di bawah komitmen Green Beauty.
Pantai Remis terletak 20 kilometer ke arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sungai Sembilang, Jeram. Ia satu lokasi ekopelancongan yang semakin kerap dikunjungi orang awam.
Pada tahun ini, Garnier Malaysia dan MNS berganding bahu untuk menangani pencemaran plastik di negara ini.
Pantai Remis menjadi lokasi pertama daripada lima pantai di seluruh negara yang disasarkan untuk aktiviti pembersihan tersebut.

Green Beauty adalah inisiatif global berteraskan komitmen jenama barangan kecantikan dan penjagaan diri itu untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar secara menyeluruh menjelang tahun 2025.
Matlamat pada 2025 itu termasuklah memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu dan menukar bungkusannya untuk memastikan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan dikompos.
Garnier mengambil langkah-langkah hijau dalam setiap perjalanan operasi jenamanya dengan komited memastikan tapak industrinya adalah neutral karbon menjelang 2025. Garnier juga berhasrat untuk memperkasa 1,000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan.
Aktiviti pembersihan pantai di Pantai Remis baru-baru ini disertai oleh 80 peserta terdiri daripada wakil-wakil Garnier Malaysia, Watsons Malaysia dan MNS.
Biarpun cuaca hujan, para peserta dilihat tetap berkumpul di pantai tersebut bagi mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan pantai buat pertama kali diadakan itu.
Ketua Garnier Malaysia, Chris Chan berkata, menangani krisis plastik di negara ini adalah satu langkah penting ke arah alam sekitar yang lebih hijau dan lestari.
“Melalui kempen ini, kami berharap dapat menggalakkan rakyat Malaysia termasuk pelanggan kami untuk membuat pilihan yang bijak dan memilih untuk melakukan amalan kitar semula,” katanya.

Pengarah Eksekutif MNS, I.S. Shanmuraj yang turut menyertai acara tersebut berkata, pihaknya ingin terus berganding bahu dengan rakan-rakan kerjasama yang komited memastikan alam sekitar lebih hijau.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Garnier kerana ini menunjukkan dedikasi mereka dalam mewujudkan perubahan dan menggalakkan pendidikan tentang kitar semula,” katanya.
Selain acara pembersihan pantai, bengkel-bengkel pendidikan di sekolah seluruh negara turut dianjurkan Garnier dan MNS sepanjang tahun ini untuk mendidik pelajar dan guru tentang sisa dan kitar semula plastik.














