PETALING JAYA – Sebanyak 24 ekor kucing milik pelakon dan penyanyi terkenal, Allahyarhamah Adibah Noor kini dijaga oleh pengurus arwah serta ahli keluarganya sendiri.
Pengurusnya yang ingin dikenali sebagai Todd berkata, dia dan keluarga Allahyarhamah telah membuat keputusan untuk menjaga sendiri kesemua kucing-kucing peliharaan milik Adibah Noor tanpa menyerahkan kepada mana-mana pihak luar.
Katanya juga, tugas ini sebagai amanah yang perlu digalas olehnya selepas arwah memintanya untuk menjaga kesemua kucing tersebut sekiranya arwah tiada lagi di dunia ini.
“Ini amanah arwah kepada saya untuk jaga 24 ekor kucing miliknya, saya dan keluarga arwah sepakat untuk jaga dan pelihara bersama bagi memastikan kebajikan kesemua kucing tersebut terjaga.
“Di rumah arwah juga ada pembantu rumah yang memang ditugaskan untuk menjaga kesemua kucing-kucing tersebut sejak arwah masih ada lagi, dan kini tugas pembantu berkenaan masih diteruskan dan kakak arwah yang akan urus soal bayaran gaji seperti biasa,” kongsinya kepada Kosmo! hari ini.
Selain itu, Todd juga mengulas mengenai beberapa pihak serta persatuan yang menawar diri untuk menjaga kucing-kucing milik Adibah Noor, namun pihak keluarga menolaknya secara baik.
“Ramai yang hubungi saya dan keluarga, tawar nak jagakan kucing-kucing tersebut, tapi kami tak nak dan akan jaga sendiri.
“Lagipun, rumah saya dengan arwah dekat, satu bangunan, jadi memang tiada masalah untuk saya selalu ada dan jagakan kucing-kucing arwah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE