NAMA Mohd. Al Khalifa Mohd. Affnan mula menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia terutamanya di negara ini sejak penghujung Mei lalu.
Ini selepas beliau dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022 (Cambridge Dedicated Teacher Award 2022).
Anugerah itu merupakan pertandingan global anjuran Cambridge University Press bagi mengiktiraf serta meraikan usaha pendidik di seluruh dunia.
Kemenangan itu juga membolehkan wajahnya menghiasi muka hadapan setiap buku teks baharu terbitan Cambridge University Press Education bermula Februari tahun depan.
Mula dianjurkan pada 2018, istimewanya pada tahun ini buat julung-julung kalinya penerima anugerah tersebut merupakan pendidik dari Malaysia dan pertama di rantau Asia yang mengalahkan 7,000 penyertaan dari 113 negara.
Penganugerahan itu dibuat selepas kejayaan anak muda yang mengajar di Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu mencetuskan projek sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam sistem pembelajaran.
Menerusi inisiatif itu, pensyarah Bahasa Inggeris berusia 36 tahun ini berjaya mendedahkan pelajarnya dalam bidang robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi.

Selain itu, dia turut berjaya meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan serta berkeperluan khas dalam aktiviti STEM.
“Semua program dan inisiatif dilaksanakan datang daripada minat dan keseronokan saya sebagai pendidik untuk melihat pelajar mendapat pengalaman bernilai di luar bilik darjah.
“Sudah semestinya saya tidak pernah menyangka untuk menerima penghormatan seperti ini, apatah lagi mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Tambahan pula kebiasaannya, saya lebih suka bekerja di belakang tabir menguruskan program dan aktiviti untuk pelajar selepas kelas,” kongsi bapa kepada seorang cahaya mata ini.
Memulakan kerjaya sebagai tenaga pengajar sebaik tamat pengajian pada 2010, Mohd. Al Khalifa ditempatkan di Kolej Vokasional Keningau yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Keningau.
Sepanjang mengajar, dia banyak menggunakan pendekatan gamifikasi yang mengaplikasikan permainan dalam pendidikan.
“Pada mulanya, saya banyak melaksanakan aktiviti luar bilik darjah seperti pertandingan drama, tarian dan permainan komputer.
“Di awal karier, saya banyak memfokuskan aktiviti bahasa, tetapi setelah beberapa ketika, apabila mula nampak kepentingan teknologi, saya mula memupuk minat dalam bidang itu untuk dikongsi bersama pelajar.
“Antaranya bidang teknologi maklumat yang saya rasakan amat penting untuk semua guru dan pelajar mempelajarinya,” ceritanya.
Pun begitu, mendidik pelajar di kawasan luar bandar bukan mudah. Akui Mohd. Al Khalifa, antara cabaran terbesar dihadapinya adalah mahu menarik minat pelajar untuk menyertai aktiviti baharu yang diperkenalkannya.
Sebagai contoh, ramai pelajar pada waktu itu masih ragu-ragu untuk menyertai program bersama pelajar Korea kerana risau perbezaan bahasa dan tidak yakin untuk berbahasa Inggeris sebagai medium pengantaraan.

Bukan itu sahaja, membina kepercayaan daripada rakan sekerja dan pentadbir juga cabaran dihadapi anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
“Pada mulanya sebagai guru baharu, memang agak sukar untuk menonjol dalam melaksanakan program atau aktiviti, kerana saya dikira orang baharu dan masih muda.
“Justeru, pada waktu itu saya banyak memerhati budaya kerja dan amalan terbaik dilaksanakan guru senior supaya dapat dijadikan inspirasi. Bagaimanapun, selepas beberapa program kecil saya berjaya dilaksanakan dan mendapat respons positif, barulah saya lebih berkeyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Berkongsi lanjut, menurut Mohd. Al Khalifa, pada 2017, dia mula melaksanakan program antarabangsa bersama pelajar Korea selepas diberi peluang untuk mengajar di Korea Selatan selama tiga bulan.
Ia dibuat menerusi program pertukaran guru Korea Malaysia Teacher Exchange Programme yang dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan.
“Program pertukaran budaya selama tiga bulan itulah membuka peluang saya untuk menjalin hubungan baik dengan sekolah-sekolah di Korea Selatan.
“Selepas itu, aktiviti bersama sekolah di Korea diteruskan setiap tahun bagi memberi peluang kepada pelajar Kolej Vokasional Keningau merasainya,” katanya.
Setiap tahun dia mengadakan program bermanfaat seperti pertukaran budaya dan perkongsian ilmu antara dua negara, termasuk ketika pandemik melanda pada 2020 dan 2021.

Walaupun sekolahnya terletak di luar bandar, namun itu bukanlah penghalang untuk mengadakan program antarabangsa.
“Selain pertemuan bersemuka, kita juga boleh mengadakan kelas online dengan pelajar dan guru dari Korea Selatan. Pun begitu pada 2022 ini, kami ingin sekali lagi menganjurkan program dengan mempelawa delegasi Korea Selatan datang ke kolej kami.
“Bukan sahaja program antarabangsa, saya juga banyak melaksanakan program untuk meningkatkan kemahiran pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang STEM dan Revolusi Industri 4.0
“Antaranya bengkel pencetakan 3D, cabaran dron dan lain-lain,” katanya.
Jelasnya, inisiatif itu secara tidak langsung banyak membuka peluang kepada pelajar mendalami ilmu mengenai dron, robotik dan pengekodan.
Apa yang membuatkan dirinya terharu adalah apabila pelajar berpeluang untuk mempelajari semua itu tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak. Bahkan mereka juga berpeluang bertanding dan memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.
Ditanya siapakah yang menjadi pendorongnya untuk menjadi pendidik, tanpa teragak-agak dia menyebut arwah datuknya.
“Allahyarham guru Bahasa Melayu semasa hidupnya dan saya melihat banyak kejayaan dikecapi,” katanya.














