fbpx

Festival Muallim mampu rapatkan UPSI, masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nolee Ashilin (tengah) memasukkan kunci sebagai simbol gimik pelancaran Festival Muallim dan PESKON UPSI di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak semalam.

PETALING JAYA – Festival Muallim yang diadakan sempena Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula sejak 17 sehingga 25 Jun nanti mampu merapatkan jurang masyarakat dengan entiti pusat pengajian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, festival yang julung kali dilaksanakan itu menyaksikan pengukuhan hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat daerah ini.

“Selepas seluruh negara bergelut penularan Covid-19, fasa pemulihan endemik menyaksikan pelbagai aktiviti bersemuka dan majlis keraian dilaksanakan dipelbagai peringkat masyarakat.

“Sejak penubuhan UPSI pada 1997, reputasi universiti pendidikan ini bertambah hebat bukan sahaja melakar pencapaian merekayasa pembangunan pendidikan negara, sebaliknya mengukuhkan semangat kekitaan dan hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Muallim, Pesta Konvokesyen (PESKON) dan Program From UPSI to Community di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah semalam.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, UPSI akan terus melestarikan hubungan masyarakat dengan universiti serta memperkasakan edu-tourism yang dapat merancakkan ekonomi setempat selaras hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dengan memasyarakatkan universiti.

“Menerusi Festival Muallim dan PESKON ini juga menyaksikan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta swasta menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

“Antaranya perarakan kenderaan berhias melibatkan lapan kontinjen termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, ResQ Team UPSI, Perarakan Sejarawan, Harley Davidson Jelajah 100 tahun UPSI, Kelab Permotoran Honda serta Majlis Mahasiswa Kolej,” jelasnya.

Katanya, Festival Muallim itu turut menampilkan aktiviti seperti derma darah, pemeriksaan gigi, pameran SPR, pameran seni, sukan ATV, kejohanan E-Sport, Majlis Puisi Seabad Ibu Kandung Suluh Budiman serta pesta jualan makanan serta barangan dagangan.

“Bukan itu sahaja, festival ini juga turut menampilkan artis-artis popular seperti kumpulan Bunkface dan Usop Mentor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI