fbpx

HFMD: 86.6 peratus kes di Johor libatkan kanak-kanak bawah 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Sejumlah 86.6 peratus daripada 6,987 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan Johor setakat ini melibatkan kanak-kanak berusia bawah 6 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu turut membabitkan kumpulan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun iaitu 816 kes iaitu 11.7 peratus manakala selebihnya berusia lebih daripada 13 tahun.

“Walaupun berlaku peningkatan besar dalam penularan kes HFMD berbanding hanya 104 kes dalam tempoh sama tahun 2021, namun situasi ini dilihat masih dalam keadaan terkawal.

“Peningkatan jumlah kes ini memang sudah dijangka akan berlaku pada tahun ini berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berhubung peningkatan kes HFMD yang sedang berlaku ketika ini sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, ketika ini terdapat sebanyak lima lokasi wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini iaitu dua lokasi di Johor Bahru dan Kota Tinggi manakala satu di Batu Pahat.

“Setakat semalam, lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini pula membabitkan 100 lokasi antaranya taska (42 wabak); rumah persendirian (22 wabak); tabika (13 wabak); tadika (sembilan wabak); prasekolah (tujuh wabak); sekolah rendah (tiga wabak); pusat jagaan harian (dua wabak) dan lain-lain (dua wabak),” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI