fbpx

Tutup, gantung lesen pengusaha stesen minyak bersekongkol sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman menunjukkan sebuah lori pasir yang diubahsuai untuk penyelewengan minyak diesel. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Tiada lagi amaran sebaliknya mana-mana stesen minyak yang didapati bersekongkol dengan sindiket penyelewengan akan ditutup operasi dan digantung lesennya.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, ini susulan pihaknya mengesan terdapat pengusaha stesen minyak yang didapati membenarkan perlakuan penyelewengan tersebut sehingga menyebabkan gangguan bekalan kepada penduduk setempat.

Katanya, ia turut memberikan kesan kepada negara yang telah mengeluarkan sejumlah subsidi yang besar agar bekalan minyak diesel dan petrol boleh dinikmati rakyat.

“Tiada lagi wujud istilah amaran dalam keadaan sekarang. Apabila berlaku perbezaan harga tinggi, penawaran tinggi dan permintaan tinggi, jadi saya rasa pihak-pihak stesen minyak ini tidak perlu bersikap mendapatkan keuntungan yang lebih dengan cara tidak sepatutnya.

“Kita faham harga industri kalau diesel cecah RM5 seliter sedangkan subsidi kerajaan hanya RM2.15 seliter. Jadi perbezaan tersebut berlaku penyelewengan ini.

“Mereka (pengusaha stesen minyak) sudah lama bergiat dalam industri dan ada syarikat yang memantau mereka. Justeru, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada sidang akhbar berhubung tindakan kes melibatkan barangan subsidi di stor KPDNHEP Selangor di Taman Sri Muda di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak sembilan stesen minyak seluruh negara telah diambil tindakan berhubung kes penyelewengan ini.

Tambah Azman, berdasarkan statistik terdapat 54 kes direkodkan berkaitan petrol RON 95 melibatkan rampasan berjumlah RM365,116 bermula 1 Januari hingga 31 Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 49 kes bernilai RM 96,787.

Bagi diesel pula untuk tempoh sama sebanyak 128 kes dihasilkan berjumlah RM3.06 juta manakala tahun lalu hanya 52 kes dengan RM2.2juta.

“Untuk makluman, lori memang kita dihadkan tidak boleh isi 250 liter sekali isi. Namun, kebanyakan mereka isi 250 liter dan sedut (isi minyak) balik.

“Modus operandi lain pula, ada yang pengubahsuaian dari segi kenderaan dan terdapat stesen minyak yang membenarkan penjualan lebih 250 liter,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada bekalan minyak masak yang merupakan antara barangan keperluan yang sering diseleweng pihak tertentu.

“Setakat semalam, ada 38 kes dihasilkan dengan satu kes di Sabah didapati mereka mengunting minyak masak peket dan dibungkus semula untuk dijual sebagai minyak tanpa subsidi,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI