fbpx

Jepun cipta tandas dalam poket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pocketoilet hanya sebesar tapak tangan dan boleh disimpan di dalam poket seluar. – Kokenawa Inc.

TOKYO – Sebuah syarikat Jepun, Kokenawa Inc., mencipta tandas paling kecil di dunia yang boleh dibawa ke mana-mana, malah boleh disimpan di dalam poket seluar, lapor laman Oddity Central kelmarin.

Menurut pengasas syarikat tersebut, Yoshinori Kokenawa, dia mendapat idea menghasilkan produk dinamakan Pocketoilet itu pada 2019 ketika menjadi sukarelawan di bandar Nagano yang terjejas akibat Taufan Hagibis.

Perkara utama yang disedari Kokenawa ketika itu adalah orang ramai menghadapi masalah untuk menggunakan tandas kerana perlu beratur panjang.

“Meskipun  berjalan dengan pantas untuk sampai ke tandas, orang ramai terpaksa beratur sehingga 30 minit atau lebih lama untuk menggunakan tandas. Jadi, saya mahu lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Pada Disember 2020, syarikat Kokenawa melancarkan Pocketoilet yang boleh dimuatkan di dalam poket seluar dengan saiz sepanjang 7 sentimeter (sm) dan lebar 6.5 sm.

Pocketoilet terdiri daripada beg yang diperbuat daripada gentian khas, tahan lama dan satu paket bahan pembeku.

Beg tersebut boleh dipasang pada mangkuk tandas atau tong sampah untuk digunakan.

Beberapa ujian yang dijalankan oleh syarikat Kokenawa mendapati bahawa hampir tiada bau yang dihasilkan oleh beg tersebut apabila ia dibiarkan di dalam tempat tertutup selama seminggu dengan keadaan berisi najis.

“Ia juga boleh disimpan di dalam beg tangan wanita, jadi kami berharap pembeli boleh membawanya walau ke mana-mana sahaja,” ujar Kokenawa.

Setakat ini, kira-kira 50,000 Pocketoilet telah dijual selain syarikat tersebut turut menyumbangkan sebanyak 6,000 unit kepada mangsa-mangsa perang di Ukraine. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN