fbpx
SHEVON melahirkan rasa puas berjaya menempah slot ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Indonesia.

Shevon Lai puas mara ke pusingan ke-2 Terbuka Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Shevon Lai mengakui puas selepas dia dan Goh Soon Huat berjaya me­nempah slot ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Indonesia.

Pada pusingan pertama yang berlangsung di Istora Se­nayan kelmarin, mereka melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai selepas menang 21-18, 7-21, 22-20.

Shevon yang menitiskan air mata sebaik perlawanan berakhir menjelaskan, dia sedikit emosi pada perlawanan itu memandangkan Soon Huat terpaksa bermain dalam keadaan menahan sakit kerana baru sahaja mengalami keracunan makanan sebelum ini.

Justeru, ia menjadikan kemenangan tersebut lebih manis selepas terdapat beberapa suara sumbang yang mengatakan mereka menjadikan keracunan makanan sebagai alasan ketika tewas pada pusingan pertama Indonesia Masters minggu lalu.

“Keadaan dia (Soon Huat) masih belum 100 peratus pulih kerana mengalami keracunan makanan, dia demam. Namun, dia terpaksa menjalani latihan bagi membuat persiapan untuk Terbuka Indonesia.

“Kemenangan itu bukti kami tidak menjadikan keracunan makanan sebagai alasan. Saya bangga kami mampu menang hari ini (kelmarin),” katanya.

Shevon juga mengakui, dia terharu dengan semangat juang yang ditunjukkan Soon Huat biarpun menanggung ­sakit sepanjang permainan selain hampir pitam ketika berdepan wakil Thailand itu.

“Memang saya sangat sedih dan terharu kerana saya tahu apa yang dialami Soon Huat. Walaupun tidak sihat tetapi dia sentiasa beritahu keadaannya masih baik dan boleh teruskan permainan,” tambahnya.

POPULAR