fbpx

2 kumpulan curi motosikal diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafa'aton (tengah) bersama barangan rampasan selepas penahanan dua ahli kumpulan curi motosikal di sekitar Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH – Seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun yang juga ketua kumpulan curi dan lerai motosikal antara tujuh lelaki ditahan di sekitar daerah ini bermula pada 7 Jun lalu.

Kesemua ahli kumpulan Haikal LC tersebut berusia antara 15 hingga 22 tahun dan mengaku terlibat dengan 25 kes curi motosikal serta pecah masuk tiga kedai dobi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kumpulan yang aktif sejak Mei tahun lalu itu hanya menyasarkan motosikal jenis Yamaha Y 135 LC dan Honda Wave.

“Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal sebelum melerai dan mengambil komponen untuk kegunaan sendiri, mereka akan membuang rangka motosikal di semak serta sungai berhampiran.

“Mereka juga akan menjual motosikal kepada pendatang asing dengan harga sekitar RM500 hingga RM1,000 dan hasil jualan akan dibahagikan antara ahli kumpulan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tangkapan telah dijalankan di enam lokasi sekitar Sungai Buloh.

“Tangkapan tersebut telah membawa kepada rampasan lima buah motosikal, tujuh rangka motosikal, empat buah enjin dan komponen motosikal yang dianggarkan bernilai RM35,000.

“Semakan mendapati sebanyak 10 laporan polis berhubung kehilangan motosikal dan kesemua tangkapan masih dalam tahanan reman sehingga esok,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 379/427 kanun yang sama.

Dalam kes berasingan, polis telah berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 15 hingga 17 tahun yang terlibat dalam kes curi motosikal.

“Kumpulan ini dikenali sebagai Adam EX5 yang aktif mencuri motosikal jenis honda EX5 sejak awal tahun ini kerana mudah dicuri dan dijual.

“Tangkapan telah dilakukan di lima lokasi di daerah ini pada 17 Mei hingga 19 Mei lalu dan mengaku terlibat dengan 15 kes kehilangan motosikal.

“Polis turut merampas enam motosikal, satu rangka dan enjin motosikal yang dianggarkan bernilai RM20,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI