fbpx

Buruh didakwa cuba bunuh rakan sekampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Amri Faisa (kiri) yang menghadapi pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh sehingga menyebabkan kecederaan rakan sekampungnya di hadapan sebuah masjid di Bachok dekat sini bulan lalu.

Tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan cubaan bunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Zailuddin Hart, 50.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok kira-kira pukul 8.45 malam pada 15 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius selain pertuduhan yang dihadapinya juga tidak boleh dijamin.

Amri Faisa kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan secara sendiri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI