fbpx

Bekas isteri S.M Faisal fail semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emilia Hanafi dan Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin.

KUALA LUMPUR – Bekas isteri ahli perniagaan terkemuka Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama bapa mereka.

Emilia Hanafi, 43, selaku pemohon menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tiada bidang kuasa menjatuhkan hukuman itu kerana beliau menetap di Kajang, Selangor, bukan di Wilayah Persekutuan.

Permohonan bekas isteri Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, itu bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi pada 8 Jun lalu.

Ibu tiga anak itu menamakan S.M Faisal, 43, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.  Emilia diwakili oleh peguam Nizam Bashir manakala Ummi Kartini Abdul Latiff mewakili S. M Faisal dan Zaleha sementara Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh S.M Faisal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI