fbpx

Tema kebebasan pada rekaan tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rama-rama pelbagai warna yang dicetak pada tudung putih polos itu adalah supaya corak tersebut tampil lebih bold

TUDUNG bawal merupakan antara tudung yang masih lagi relevan dan mendapat permintaan yang tinggi biarpun selepas kemunculan pelbagai jenis tudung yang lain.

Tidak kira apa juga jenis tudung mahupun gaya dihasilkan, hampir setiap daripada golongan wanita muslimah sukakan fesyen tudung yang mudah digayakan bagi menjadikan mereka tampil lebih yakin.

Berbekalkan pengalaman sebagai model tudung selama empat tahun, seorang wanita muda, Aida Nabilah Razman, 26, memberanikan diri dengan menubuhkan jenama tudungnya sendiri dengan matlamat menjadikan wanita lebih yakin untuk menggayakan hijab.

“Tudung jenama Ayeeda.kl telah ditubuhkan pada Mac 2020 iaitu ketika dunia mula-mula dilanda pandemik Covid-19.

“Ia bermula sebagai satu perniagaan tudung kecil-kecilan yang diasaskan dari rumah sebelum ia kemudiannya berkembang menjadi sebuah perniagaan dalam skala yang lebih besar,” ujar Aida Nabilah.

Produk tudung paling mendapat sambutan daripada jenama itu adalah merupakan koleksi Jasmine Shawl yang merupakan koleksi tudung polos daripada material kain kapas.

Koleksi tersebut menjadi kegemaran pelanggan memandangkan sifatnya yang ringan dan mudah digayakan biarpun tanpa penggunaan jarum.

Bertitik tolak daripada sambutan Jasmine Shawl, Aida Nabilah kemudian mengorak langkah dengan mula mempertaruhkan koleksi tudung bawal bercorak idea rekaannya sendiri, dikenali sebagai Mariposa.

“Menerusi Mariposa, pemilihan warna dan motif rama-rama padanya adalah diinspirasikan daripada tema kebebasan.

“Ia sebenarnya merupakan koleksi Aidilfitri 2022, yang mana motif rama-rama itu melambangkan penantian oleh seluruh rakyat Malaysia bagi meraikan sambutan Aidilfitri selepas dua tahun,” ujarnya kepada Stailo.

Tambah Aida Nabilah, melalui Mariposa, dia mengharapkan agar ia menjadi ekspresi wanita berhijab untuk meraikan kebebasan daripada pandemik Covid-19.

Warna-warni pada rekaan tudung Mariposa memberi simbolik kebebasan dan juga perayaan.

“Mariposa juga bermaksud rama-rama dalam bahasa Sepanyol. Oleh itu, rama-rama pelbagai warna yang dicetak pada tudung putih polos itu adalah supaya corak tersebut tampil lebih bold,” ujar Aida Nabilah.

Rona putih dipilih sebagai rona asas bagi koleksi Mariposa bagi menyerlahkan lagi corak rama-rama dan bunga-bungaan pada tudung tersebut.

Selain itu, material berkilau dipilih oleh Aida Nabilah bagi koleksi Mariposa itu juga dilihat cukup bersesuaian dengan tudung tersebut memandangkan ia menyerlahkan lagi corak warna-warni yang dicetak di atasnya.

Koleksi tersebut didatangkan dalam enam warna pilihan iaitu biru, ungu, jingga, kuning, merah jambu dan juga hijau. 

Ditanya tentang mengapa dia hanya menghasilkan tudung bawal bagi koleksi Mariposa, Aida Nabilah berkata ia adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap tudung jenis bawal.

“Ketika dilancarkan, kami mendapat permintaan yang tinggi untuk bawal bercorak.

“Namun, selepas ini, sudah tentu kami akan menghasilkan selendang bercorak pula, sesuai dengan permintaan,” ujarnya.

Koleksi Ayeeda.kl boleh dibeli menerusi laman web www.ayeedakl.com atau Instagram @ayeeda.kl pada harga antara RM49 hingga RM59.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI