fbpx

Petani Jepun kurangkan tanaman beras demi beralih kepada gandum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petani bergambar di sawah padi miliknya di bandar Kazo, dalam wilayah Saitama pada 31 Ogos 2018. - AFP

TOKYO – Lebih ramai petani di Jepun bakal mengurangkan penanaman beras dan bertukar kepada tanaman gandum serta kacang soya pada tahun ini sebagai tindak balas terhadap peningkatan harga bijirin global akibat krisis peperangan di Ukraine, lapor akhbar The Mainichi kelmarin.

Daripada 47 wilayah di negara itu, 37 daripadanya setakat penghujung April lalu berkata akan mengurangkan keluasan tanaman padi berbanding tahun lalu, kata Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan.

“Lebih ramai petani kini menukar kepada penanaman gandum dan kacang soya disebabkan peningkatan harga global,” kata seorang pegawai kementerian berkenaan.

Buat masa ini, 80 peratus daripada gandum dan 90 peratus daripada kacang soya yang digunakan di Jepun adalah diimport. Harga bagi komoditi itu bagaimanapun telah meningkat secara signifikan kerana Russia dan Ukraine merupakan pengeluar utamanya.

Sebaliknya, penggunaan dan harga beras di negara itu kini menunjukkan trend penurunan akibat kepelbagaian gaya hidup yang diamalkan.

Pandemik koronavirus mengurangkan lagi permintaan beras disebabkan pengurangan permintaan dari restoran-restoran yang berdepan dengan peraturan ketat operasi perniagaan.

Sementara itu, daripada kesemua 47 wilayah, tiada satu pun yang mempunyai perancangan untuk memperluaskan penghasilan beras, manakala 10 daripadanya berkata akan mengeluarkan kira-kira kadar yang sama dengan tahun lalu.

Daripada 37 wilayah yang akan mengurangkan pengeluaran beras, tiga termasuk Hokkaido, yang merupakan wilayah pengeluar beras utama di Jepun berkata akan mengurangkan pengeluaran lebih lima peratus berbanding tahun lalu.

Empat wilayah pula akan mengurangkan penghasilan sebanyak tiga ke lima peratus, manakala 30 lagi akan menurunkan volum sebanyak satu hingga tiga peratus.

Kementerian dalam pada itu turut menjangkakan jumlah kawasan yang dikhaskan untuk tanaman beras di negara itu akan berkurang sebanyak 35,000 hektar. Ia bagaimanapun mencadangkan pengurangan 4,000 hektar lagi kawasan untuk mengurangkan penghasilan bagi memenuhi kadar permintaan sekitar 6.75 juta tan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI