fbpx

Seludup cecair vape RM1.08 juta guna lori syarikat penghantaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakemal (dua dari kiri) menunjukkan cecair vape yang dirampas dalam sebuah lori syarikat penghantaran di Pos Simpangan, Tumpat semalam.- FOTO: ZULHANIFA SIDEK

RANTAU PANJANG – Cubaan dua lelaki untuk menyeludup sebanyak 21,600 unit cecair vape pelbagai perisa bernilai lebih RM1 juta menggunakan sebuah lori syarikat penghantaran untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup di kawasan Pos Simpangan, Tumpat dekat sini semalam.

Anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat lori dan seorang pemandu berada di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, semasa intipan dijalankan, seorang lagi lelaki dilihat datang mendekati lori tersebut sebelum mengambil beberapa kotak berwarna coklat.

Menurutnya, anggota PGA terus menjalankan serbuan dan menahan lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemandu lori tersebut selain seorang lagi lelaki berusia 20 tahun dipercayai berperanan sebagai penyeludup.

“Pemeriksaan pada bahagian belakang lori itu telah menemui sebanyak 21,600 unit perisa vape yang bernilai RM1.08 juta di dalam kotak yang dipercayai akan diseludup ke Thailand.

“Siasatan mendapati, pemandu lori itu menjalankan kegiatan membawa cecair vape tersebut tanpa pengetahuan majikannya kerana kesemua barangan tersebut tiada dalam rekod penghantaran,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini hari ini.

Menurut Hakemal, siasatan mendapati, suspek kedua dipercayai akan membawa kotak-kotak tersebut ke beberapa pangkalan haram sebagai transit sementara sebelum ia diseludup ke negara jiran.

Katanya, siasatan mendapati, pekerja syarikat penghantaran itu menyalahgunakan lori yang disediakan oleh syarikatnya untuk menjalankan kegiatan penyeludupan.

“Ini merupakan tangkapan kedua melibatkan penggunaan lori syarikat penghantaran digunakan untuk membawa barangan seludup.

“Sehubungan itu, PGA akan terus mempertingkatkan pemeriksaan terhadap lori syarikat penghantaran agar tidak berlaku penyeludupan yang menggunakan kenderaan itu untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Tambah Hakemal, kedua-dua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI