fbpx

Relevan, supremasi 35 tahun Hattan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN

HIDUP merupakan sebuah perjalanan menuju destinasi yang masih samar. Kalau dikurniakan rezeki dan peluang, tidak mustahil langkah akan dapat terus berarak dengan penuh kejituan dalam tempoh yang panjang.

Buat kerjaya seni penghibur bernama Datuk Hattan, barangkali begitu juga acuannya. Tiada siapa menyangka waima dirinya sendiri, selepas 35 tahun menabur bakti sebagai pemuzik, beliau masih teguh berdiri dan kekal relevan.

Konsert Hattan 35 Years Journey yang berlangsung hujung minggu lalu di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi kehebatan pemilik nama lengkap Mohd. Shukri Shahabudin itu.

Stamina, energi luar biasa

Lebih tiga jam persembahan dengan 24 seleksi lagu popularnya bukan hanya menebarkan pengaruh penyanyi itu sebagai seorang vokalis lelaki berkaliber negara tetapi menonjolkan kematangan kerjaya nyanyian Hattan dari pelbagai sudut.

“Saya tunggu lebih kurang 35 tahun untuk konsert solo ini. Syukur alhamdulillah, malam ini saya berdiri di atas pentas ini.

“Terima kasih buat mereka yang selalu ada. Kawan-kawan, keluarga dan sudah tentu, para peminat,” ucap anak jati kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu lantas memulakan nuansa persembahan pentas dengan lagu pertama berjudul Biso Bonar.

SELAMA lebih dua jam beraksi pada persembahan Konsert Hattan 35 Years Journey membuktikan Hattan selaku vokalis lelaki terbaik dimiliki industri seni tempatan.

Terkenal sebagai seorang anak seni yang lantang melahirkan pendapat tentang segala macam kebobrokan yang melanda industri, ternyata, Hattan boleh dilekatkan lencana frasa, ‘a man of his word’ di bahunya.

Menjadi saksi dirinya beraksi di perut pentas ikonik berkenaan memberi getus peringatan mengapa kadang-kadang beliau lantang berkata-kata dalam temu bual, hatta media sosialnya.

Zaman media sosial sekarang, pelaku seni barangkali tidak merasa kesusahan dihadapi figura berpengaruh seperti Hattan. Usaha atau kepayahan merakamkan sesebuah karya muzik masa kini tidak sama seperti apa yang dialami ‘orang lama’.

Dahulu mereka bersengkang mata, bermalam di studio buat lagu, namun sekarang tak hadir ke studio tetapi dengan bantuan jalinan internet pun sudah boleh buat lagu.

Bercakap tentang kepayahan atau kesulitan, Hattan mengimbau kenangan lama secara ringkas usai mendendangkan lagu Kelentong Dol Hancing yang sebelum itu didahului dengan lagu Hitam Bukan Impian.

YouTube, fun fair

Katanya, kalau kebanyakan orang seni sekarang bergantung dengan YouTube demi kelangsungan seni mereka, lain ceritanya dengan mereka yang sudah lama bergelumang dalam bidang tersebut.

“Dahulu fun fair (pesta ria) macam YouTube. Apabila teringat persembahan di fun fair, mengimbau macam-macam hal terjadi termasuklah kena tipu.

“Itu yang bila kami marah, kami luahkan dalam lagu. Sebab itu jugalah lahirnya lagu kena ‘kencing’ itu,” katanya bersahaja.

PADA malam konsert yang menjadi momen terindah dalam kariernya, Hattan turut mengimbau kenangan wang poket sebanyak RM20 pemberian ibu tercinta yang menjadi titik tolak permulaan kariernya sebagai penyanyi.

Kehangatan persembahan diteruskan dengan lagu yang barangkali sedikit asing di cuping telinga para peminat iaitu Hani dan kemudiannya, salah satu lagu paling popular Hattan; Dari Kekasih Kepada Kekasih.

Pada usia yang kian menghampiri 60 tahun, kualiti vokal penghibur itu sememangnya tiada ganti dan dibuktikan ketika beliau mendendangkan lagu tersebut.

Jiwa ‘blues’, kejantanan, kawalan, kejelasan dan pada masa sama, listrik vokalnya terus serta cukup terserlah ketika menyanyikan lagu ciptaan Datuk M. Nasir dan lirik nukilan Allahyarham Loloq berkenaan.

Tidak hanya melaungkan vokal semata-mata, Hattan juga berdiri sebagai seorang storyteller atau tukang cerita yang kaya dengan pesanan dan peringatan yang boleh dijadikan teladan.

Kejayaan yang digapai hari ini dengan status seorang anak seni tidak akan menjadi realiti tanpa restu dan doa seorang wanita bernama ibu.

“Waktu bermula dahulu, saya masih ingat, saya bukan datang dari keluarga orang senang. Masih basah di fikiran, ibu sanggup beri saya RM20 sebagai belanja melunaskan hasrat ke kota nak jadi penyanyi.

“Waktu itu, jumlah wang yang dihulurkan itu besar nilainya dan saya tahu mungkin untuk beli lauk dan beras. Tapi naluri ibu kan, dia tahu kehendak anak dia,” tutur Hattan penuh makna.

Lagu ‘rare’, hit seimbang

Secara peribadi, pemilihan lagu ‘rare’ dan hit seimbang menjadikan Konsert Hattan 35 Years Journey begitu bermakna buat audiens terutama selepas dunia beransur-ansur bebas dibelenggu ‘penjara’ pandemik Covid-19.

Dengan kehadiran tetamu sekitar 1,700 orang, pastinya persembahan Hattan tidak akan gah tanpa iringan barisan pemuzik profesional yang menjadi tulang belakang konsert berkenaan. Antaranya Ujang Exists di posisi dram, Fly Halizor (bes) dan Ritz Metalasia (gitar utama).

KIAN mendakap usia 60 tahun kelak, namun Hattan membuktikan usia emas bukan penghalang untuknya melampiaskan aksi energetik demi menghiburkan peminat.

Berkumandang lagu Tiara secara medley yang dipadankan Berikan Nurbisa, ada ketika Hattan berkongsi fakta bahawa lagu nyanyian kumpulan Kris ciptaan M. Nasir tersebut sepatutnya dirakamkan olehnya, namun dikembalikan kepada kumpulan berkenaan.

Kata orang, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Atas sebab itu, anak Hattan, Adam Eiman turut diberi peluang berkongsi pentas dengan mempersembahkan single terbaharunya yang belum diluncurkan berjudul Takdir sebelum berpadu vokal dengan bapanya menerusi lagu Gadis Jelebu.

Meneruskan baki persembahan, Hattan ternyata masih memiliki stamina dan energi yang sangat luar biasa. Sekali lagi, terlintas di fikiran bahawa usia barangkali kian mencemburuinya. Tetapi sepertinya perjalanan beliau sebagai seorang pemuzik baru hendak bermula.

Itu dibuktikan dengan untaian lagu-lagu berikutnya yang dipersembahkan termasuklah Gerhana, Sekuntum Mawar Merah dan Rendang Tak Berbuah.

PENGISIAN konsert Hattan baru-baru ini tidak akan sempurna tanpa kehadiran barisan pemuzik handalan tanah air. (Dari kanan) Ritz Metalasia dan Fly Halizor.

Penyanyi generasi sekarang yang masih bertatih dan ingin mencari hala tuju, Hattan sememangnya mempunyai resipi dan rahsia tersendiri yang melayakkan dirinya masih berdiri sehingga tahap ini. Mungkin selepas ini kalau beliau memberi teguran, cuba fahami apa pengisian tersirat demi kebaikan bersama.

Persembahan sampai ke kemuncak apabila Hattan menyanyikan dua lagu terakhirnya, Memburu Rindu ciptaan Bob Lokman bersama Datuk M. Nasir.

Berbusana rona biru dan berkaca mata hitam, tiada penyanyi yang mampu membawakan lagu tersebut seadil dan selayaknya seperti Hattan.

Sungguh, Hattan merupakan antara vokalis lelaki terbaik tanah air! Konsert dua malam di lokasi sama semestinya membekas dalam jiwa audiens yang hadir.

Itulah serba sedikit tentang kelangsungan dan kejayaan konsert yang dilunaskan Hattan dan pasukan anjuran Mewah Event Management. Satu permulaan yang baik dan wajar menjadi ikutan pemuzik tanah air tatkala dunia semakin memulih dari wabak Covid-19 yang telah memisahkan banyak perihal termasuk berkaitan seni itu sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI