fbpx

Hantar guru ke perkampungan Orang Asli atasi keciciran pelajar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mempertimbang menghantar guru ke perkampungan Orang Asli dalam usaha mengatasi masalah keciciran pelajar sekolah rendah dalam kalangan masyarakat itu.

Beliau berkata, usaha menghantar guru untuk mengajar di perkampungan Orang Asli itu sedang dikaji pihak terbabit termasuk oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pendidikan sebelum dilaksanakan.

“Setakat ini saya tidak tahu jumlah keciciran dalam pendidikan awal dan sekolah rendah, tetapi yang pasti jumlah itu sudah berkurangan yang penting hampir tiada yang tidak hantar anak ke sekolah.

“Malah pendidikan awal kanak-kanak pun kita telah naik taraf, walaupun dasar Tabika Kemas perlu 20 orang ke atas, tetapi kalau membabitkan masyarakat Orang Asli, 10 orang pun kita buka. Yang penting akses kepada pendidikan awal itu dapat diberikan kepada seluruh masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, konsep Satu Guru Satu Sekolah adalah signifikan bagi memastikan tiada atau sifar keciciran pendidikan dalam pendidikan awal anak-anak Orang Asli.

“Selalunya keciciran ini disebabkan kampung mereka jauh dari sekolah dan terpaksa tinggal di asrama pada usia tujuh tahun, tetapi mereka tidak mampu berjauhan dengan keluarga. Kes seperti ini mungkin ada, tetapi saya tidak pasti peratusannya.

“Bagaimanapun, kemasukan ke sekolah menengah masih membimbangkan memandangkan tiada sekolah menengah yang dibina di perkampungan Orang Asli. Namun, bagi sekolah-sekolah tertentu kita ada menyediakan asrama,” jelasnya.

Ujarnya bagi mengatasi masalah itu, kerajaan masih mencari formula yang sesuai untuk memastikan anak-anak Orang Asli ini tidak ketinggalan dalam pendidikan dan meminta semua Tok Batin memberi kerjasama untuk menerangkan kepentingan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI