fbpx

Top Gun: Maverick sekuel paling hebat!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tom Cruise memaklumkan, dia tidak suka dengan permainan teknik janaan komputer (CGI) dalam menjayakan sesuatu babak yang dianggap mustahil. Justeru, semua babak ‘terbang’ dalam filem kali ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

MENAKJUBKAN! Satu perkataan yang keluar dari bibir penulis usai menghabiskan durasi dua jam 11 minit menonton filem terbaharu lakonan Tom Cruise, Top Gun: Maverick.

Diarahkan oleh sutradara bernama Joseph Kosinski, karya berkenaan yang merupakan sekuel filem terdahulu diluncurkan 36 tahun lalu benar-benar membuktikan kepada audiens bahawa bukan semua berstatus sekuel mahupun prequel ‘tidak menjadi’.

Kalau ada impian atau angan-angan ingin membikin sambungan filem terdahulu, jadilah seperti Top Gun: Maverick. Serba-serbi sempurna.

Secara peribadi, penulis tidak dilahirkan pada era penghujung 1980-an, namun berkesempatan menonton filem asal Top Gun menerusi laman penstriman HBO Max.

Lebih bagus

Sangat bagus dan hebat untuk kualiti sebuah filem pada era berkenaan, namun Maverick? Tidak keterlaluan untuk diklasifikasikan sekuelnya jauh lebih bagus. Bahkan, antara filem terbaik yang pernah menjengah pawagam tahun ini.

Itu pendapat peribadi dan terpulang kepada penerimaan masing-masing.

Mereka yang terpilih memasuki Top Gun menjalani latihan intensif menjayakan satu misi untuk negara paling berkuasa dunia, Amerika Syarikat.

Top Gun: Maverick berjaya menyerlah dari pelbagai aspek termasuklah jalan cerita, aksi, sinematografi, lakon layar, transisi babak ke satu babak lain, terjemahan karakter, runut bunyi dan sebagainya.

Kalau boleh diberikan markah untuk setiap satu aspek yang disebutkan, layak diberi sesempurna habis iaitu 10/10!

Pertama sekali, Tom Cruise sememangnya antara pelakon terbaik dunia. Karakter Pete ‘Maverick’ Mitchell hanya dia yang boleh menjayakannya. Karisma, babak aksi sini sana tanpa henti, layak dan gaya dirinya sememangnya berada di liga tersendiri.

He wants mach 10, let’s give him mach 10. Itu antara dialog yang bermain di fikiran semasa menyaksikan keajaiban yang dicernakan menerusi Top Gun: Maverick.

Rasa asing dengan dialog berkenaan? Pergi ke panggung, tonton dan memang tidak akan menyesal langsung.

Tolong bagi Tom Cruise Oscars

Tak pasti sama ada pernyataan ini melampau tetapi Tom Cruise layak menerima pencalonan dalam Oscars disebabkan peranannya menerusi filem berkenaan.

Tahu, memang masih terlalu awal untuk membuat jangkaan tetapi kualiti lakonannya sangat-sangat layak dicanang.

Memandangkan dia tidak pernah langsung merasa trofi Oscars sejak mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada 1981.

DALAM Top Gun: Maverick, Jennifer Connelly memainkan watak selaku Penny Benjamin di samping Tom Cruise sebagai Kapten Pete ‘Maverick’ Mitchell.

Selain itu, karakter-karakter lain yang baru diperkenalkan seperti Bradley ‘Rooster’ Bradshaw lakonan Miles Teller, Jake ‘Hangman’ Seresin (Glen Powell) dan Robert ‘Bob’ Floyd juga membekas impak yang tersendiri.

Sejujurnya, tak perlu tonton filem pertama kerana yang sekuel ini kisahnya tidak memeningkan dan diadun dengan cermat.

F/A-18E

Babak aksi ‘terbang’ melibatkan jet pejuang berdentum dan tidak nampak langsung celanya. Menonton filem, rasa diri sendiri sedang berada di dalam jet pejuang F/A-18E.

Sesekali, terbit di dalam hati mengapa dahulu tidak dipupuk semangat dan minat untuk menjadi juruterbang pesawat, sekurang-kurangnya.

Aspek teknikal lain seperti efek dan runut bunyi atau soundtrack yang dijayakan oleh ‘trio’ handalan iaitu Harold Faltermeyer, Lady Gaga dan Hans Zimmer melengkapkan kesempurnaan filem kali ini. Kata orang, apalah filem Top Gun tanpa soundtrack yang merinding, namun itu direalisasikan dengan sempurna.

KARAKTER Rooster, anak mendiang Goose yang juga rakan baik kepada Maverick dijayakan sempurna oleh pelakon bernama Miles Teller.

Ada banyak perkara yang ingin diceritakan tentang kualiti Top Gun: Maverick tetapi kalau terlalu asyik memang tak cukup satu helaian ulasan naskhah ini.

Paling penting, sesiapa yang masih belum berkesempatan menonton, jaga-jaga, kalian mungkin sedang ketinggalan antara satu pengalaman sinematik paling unggul tahun ini.

It’s not the plane, it’s the pilot. Dan, Top Gun: Maverick membuktikan bahawa dunia sinematik boleh bergerak cemerlang andai diletakkan kesungguhan yang hebat ketika pembikinan dari segala aspek. Kesimpulannya, bravo!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI