fbpx

Menginap sambil menjelajah ladang buah tropika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pengunjung berpeluang menerokai ladang buah-buahan menggunakan bas mini atau kenderaan pacuan empat roda.

SEMPENA cuti sekolah pada minggu ini, ramai ibu bapa yang merancang untuk membawa anak-anak pergi bercuti ke tempat-tempat menarik.

Memang terdapat banyak tempat menarik yang sesuai dikunjungi kanak-kanak di negara ini. Cuma persoalannya, sejauh mana kunjungan itu mampu memberi manfaat kepada golongan berkenaan?

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka bukan sahaja mementingkan tempat pelancongan yang menyeronokkan, bahkan mampu memberi ilmu kepada anak-anak secara tidak langsung.

Salah sebuah tempat percutian yang menawarkan ‘pakej’ sedemikian ialah Labis Sunrise Farm (LSF) di Labis, Johor. Terletak hampir 10 kilometer dari pekan Labis, LSF sentiasa menjadi tumpuan pelawat.

Pengurus LSF, Tang Qian Wei berkata, tempat berkenaan merupakan kawasan percutian serta penginapan berkonsepkan farm stay atau tinggal di dalam ladang.

BUAH jambu air antara tanaman yang terdapat di Labis Sunrise Farm, Labis, Johor.

Jelasnya, LSF bukan sahaja terletak jauh dari kesibukan kota, malah menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti yang sesuai buat semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

“Tempat ini mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2015. Ia sebuah tempat percutian dan penginapan yang terletak di atas bukit pada ketinggian 300 meter dari aras laut.

“Pada mulanya, tempat ini merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika. Kemudian, kami membangunkan tempat penginapan ini untuk pelawat,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Menurut Qian Wei, pihaknya menawarkan 150 buah bilik yang dikelaskan kepada empat jenis iaitu twin sharing room, quad sharing room, family room dan suite room.

Jelasnya, setiap bilik bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan, malah dinding-dindingnya dihiasi mural bagi memberi rasa selesa kepada pelawat.

“Setiap bilik penginapan kami berbeza dari segi kapasiti. Namun kesemuanya dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, televisyen, pemanas air, katil dan tuala.

“Kami juga menyediakan aktiviti santai kepada pelawat seperti bilik karaoke, meja pool, catur dan basikal,” jelasnya sambil memaklumkan harga bilik bermula RM118 semalam.

Salah satu bilik penginapan ditawarkan yang kelihatan kemas dan selesa.

LSF turut menawarkan 150 buah tapak perkhemahan yang dilengkapi kemudahan tandas dan lampu. Ia amat sesuai buat mereka yang ingin tinggal lebih dekat dengan alam semula jadi.

Menariknya, LSF menyediakan sebuah lokasi khusus di kawasan penginapan bagi memudahkan pelawat menikmati pemandangan indah matahari terbit, tanpa perlu mendaki atau berjalan jauh.

Qian Wei memaklumkan, salah satu aktiviti yang menjadi tumpuan para pelawat di LSF adalah menjelajah ladang buah-buahan menggunakan bas mini atau kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, sepanjang aktiviti itu pelawat berpeluang mengenali pohon tropika selain didedahkan dengan ilmu pertanian seperti membajak tanah dan memetik buah.

“Di sini, kami mempunyai pelbagai ladang buah-buahan seperti jambu air, nangka, cempedak, pinang, durian, jambu batu, pisang dan rambutan dan limau barli.

“Di kawasan ladang juga, kami menempatkan kolam mandi, zoo mini dan kawasan permainan berpasir. Ia amat sesuai kepada pelawat yang datang bersama keluarga,” terangnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN