fbpx

600 syarikat pempamer terlibat dalam LIMA ’23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pra-Pelancaran LIMA 2023 di Wisma Pertahanan, di sini semalam. /FOTO SHIDDIQIEN ZON

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer membabitkan 20 buah negara dijangka akan menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 27 Mei tahun hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, edisi kali ini amat dinantikan bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi juga pempamer, delegasi antarabangsa dan orang awam memandangkan kali terakhir ia diadakan ialah pada tahun 2019.

“LIMA tertunda sejak tahun 2021 disebabkan pandemik Covid-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali ialah berdasarkan aspek kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

“Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima dari rakan-rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terlibat, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA ’23 sebagai yang terbesar pernah direkodkan,” katanya semasa sidang akhbar Majlis Pra-Pelancaran LIMA ’23 di Wisma Pertahanan di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Hishammuddin berkata, secara gambaran awal, jangkaan statistik ialah seperti penglibatan 600 jumlah pempamer (syarikat); 20 astaka negara terlibat; 45,000 atau 238,000 pelawat perdagangan mahupun awam; 380 tetamu luar negara daripada kira-kira 41 buah negara; 110 buah aset udara dan 110 buah aset maritim.

“Ini sekali gus menjadi medan terbaik bagi syarikat-syarikat industri pertahanan dari seluruh dunia khususnya berkaitan aeroangkasa dan maritim untuk kembali bertemu secara bersemuka selepas lama tidak berpeluang melakukannya akibat pandemik Covid-19 dan penangguhan LIMA 2021.

“Ini secara langsung juga dapat membuka lebih peluang dalam usaha menghubung dan mempromosikan kerjasama strategik antara syarikat industri pertahanan tempatan dengan antarabangsa selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara yang sedang dirangka ketika ini,” ujarnya.

Lebih mengujakan katanya terdapat beberapa pembaharuan yang bakal dapat disaksikan di LIMA ’23 antaranya, memperkenalkan segmen pertunjukan dron dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, Forum CEO Syarikat Penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan, kerjaya serta pertandingan permainan elektronik (egames), dan segmen wanita dalam pertahanan.

“Ini tidak termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah.

“Namun seperti saya selalu tekankan, perancangan sahaja tidak mencukupi. Yang penting ialah pelaksanaan. Justeru, demi memastikan kelancaran LIMA ’23, penganjurannya akan sekali lagi diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu juga katanya, Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd pula telah dilantik sebagai penganjur bersama LIMA ’23.

“Tidak sekadar itu, saya bersama Menteri Pengangkutan akan memastikan setiap aspek persiapan diteliti dan diperincikan dengan sebaik mungkin sekali gus dapat dirasai impaknya semasa hari penganjuran sebenar nanti.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam LIMA ’23. Semoga acara ini sekali lagi dapat mengharumkan nama Malaysia dan Jalur Gemilang di persada dunia. InsyaAllah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI