fbpx
Musa mengeluarkan salah satu ketam nipah ternakannya dari kotak ternakannya di Kampung Ujong Pasir, Seremban.

Ternak ketam nipah dalam kotak bak peti surat kondo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI satu sudut kelihatan seorang lelaki sedang memegang isi ikan yang telah dipotong kecil dengan menggunakan penyepit untuk diberi makan kepada ketam-ketam nipah ternakannya.

Menariknya ketam-ketam tersebut bukan berada di dalam kolam sebaliknya dalam kotak-kotak seperti peti surat di apartment atau kondominium.

Kepingan kecil ikan itu disua ke arah ketam selepas pintu kotaknya dibuka.

“Ketam ini hanya makan sekali sehari dan biasanya saya akan memberi ikan tidak bersisik seperti ikan kembung, selar kuning dan lain-lain kepada ketam-ketam ini.

“Saya memberi makan ikan tidak bersisik kerana ingin memastikan sistem saliran untuk tempat peliharaan ketam ini tidak dicemari dengan sisik-sisik sehingga tersumbat,” kata Musa Osman, 59, kepada K2.

Musa yang menetap di Kampung Ujong Pasir di Seremban, Negeri Sembilan telah menggunakan konsep ‘pertanian bandar’ untuk menternak ketam nipah. Ketam nipah atau nama saintifiknya, Scylla serrata dikenali juga sebagai ketam lumpur atau ketam bakau.

Habitat asalnya adalah di kawasan paya bakau.

Melalui konsep pertanian bandar tersebut, Musa menggunakan sistem ternakan ketam nipah dikenali sebagai Sistem Penternakan Ketam Kompak (Compact Crab Farming System) yang merupakan inovasi dalam penternakan ketam secara tertutup.

“Melalui sistem ini kita tidak memerlukan ruang ataupun kolam yang luas untuk menternak ketam.

“Sebaliknya dengan hanya keluasan 60 sentimeter lebar dan 150 sentimeter tinggi saya menyediakan kotak-kotak ternakan untuk dijadikan tempat tinggal ketam,” ujarnya.

Jelasnya, keluasan tersebut membolehkannya menempatkan 35 kotak ternakan disusun menegak dengan seekor ketam dimuatkan pada setiap satu kotak yang di dalamnya turut mengandungi air.

Kotak-kotak tersebut turut dihubungkan dengan satu sistem saliran yang berfungsi untuk mengitar semula air masin yang diperlukan dalam penternakan ketam tersebut. Air masin tersebut kemudian disalirkan ke setiap kotak mengandungi ketam itu.

Potongan isi ikan kecil disua ke dalam kotak ketika memberi makan ketam.

Musa berkata, dia perlu sentiasa memastikan tahap kemasinan air antara 8 hingga 12ppm bagi menternak ketam-ketam tersebut. Sejenis peralatan khas digunakan untuk memantau tahap kemasinan air itu.

Mengenai kelebihan penternakan menggunakan sistem itu, dakwa Musa, ia mampu mempercepatkan tumbesaran ketam nipah yang diternak.

“Kebiasaannya, pada awalnya, kita akan memasukkan ketam nipah yang beratnya sekitar 150 gram (g) hingga 200g di dalam kotak ini.

“Kemudian berat ketam ini akan bertambah lebih 100g dalam tempoh cuma dua hingga empat minggu,” katanya.

Terangnya, jika di habitat asal, agak sukar untuk ketam nipah tersebut mendapat pertambahan berat sedemikian dalam tempoh masa tersebut. Ini mungkin disebabkan pemakanan di habitat asalnya yang tidak teratur sekali gus memperlahankan proses pembesaran.

Selain itu, kata Musa, ketam nipah yang diternak dengan menggunakan sistem tersebut juga lebih bersih, mempunyai isi lebih kenyal dan rasanya lebih manis.

Kongsinya, harga pasaran ketam nipah di pasaran boleh mencecah sehingga RM60 untuk satu kilogram.

Musa yang memiliki latar belakang kejuruteraan mekanikal dan pernah bekerja di beberapa syarikat rawatan air menjelaskan, pengurusan air amat mustahak dalam memastikan sebarang hidupan air yang diternak tidak terjejas.

“Begitu juga ketam, pengurusan air amat penting. Sistem yang saya bangunkan ini berfungsi menapis air, mengitarnya semula sebelum disalir masuk ke dalam kotak ternakan,” terangnya.

Set sistem ini dari sudut pandang keseluruhan.

Bagi memastikan air yang ditapis itu mencapai tahap yang diinginkannya, dia menggunakan bahan-bahan tapisan seperti span, batu karang, arang batu, batu gunung berapi dan lain-lain lagi.

Penukaran air baharu pula hanya dilakukan setiap tujuh hingga 10 hari dengan kapasiti air yang ditukar cumalah sekitar 10 hingga 15 peratus.

Berbicara tentang konsep ternakan ketamnya itu, Musa menjelaskan dia sebenarnya telah membangunkan sistem tersebut sejak 13 tahun lalu.

“Saya terfikir, kebiasaannya untuk menternak sesuatu hidupan air kita memerlukan kawasan yang besar. Namun, bagaimana mereka yang tidak mempunyai ruang untuk berbuat demikian?

“Dari situ, saya mendapat idea untuk membangunkan sistem yang sesuai untuk konsep pertanian bandar. Bentuk sistem ini seakan rumah kondominium dan ia tidak memerlukan ruang yang terlalu besar,” jelasnya.

Musa juga mendakwa, sistem ciptaannya itu adalah tulen apabila telah didaftarkan sebagai harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2009 sebelum mengkomersialkannya di pasaran.

KETAM nipah yang diternak dengan sistem ini dikatakan mampu mencapai tumbesaran lebih pantas.

Selain itu, Musa juga menerima tempahan daripada orang ramai yang memintanya menyediakan set sistem tersebut.

“Saya ada menjual dan menerima tempahan daripada pelanggan yang berminat untuk menternak ketam dengan menggunakan sistem ini.

“Saya menawarkan dua saiz untuk mereka pilih iaitu set mini mempunyai 35 kotak yang berharga RM2,500, manakala bagi saiz komersial iaitu 100 kotak berharga RM6,000,” jelasnya.

Tambahnya, bagi mereka yang berhasrat untuk menternak ketam menggunakan sistem tersebut dinasihati untuk mencuba set mini terlebih dahulu selain belajar tentang pengurusan air dan penjagaan awal ketam.

Setelah mahir, mereka boleh menggunakan set komersial dan menjadikannya sebagai salah satu punca untuk menjana pendapatan.

Musa juga mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk membangunkan sistem yang sama bagi memelihara udang kara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN