fbpx

Sepanyol setuju hantar senjata berat kepada Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta kebal Leopard II A4 buatan Jerman adalah antara senjata berat yang bakal dibekalkan Sepanyol buat Ukraine. - KMW

MADRID – Sumber kerajaan Sepanyol mendedahkan bahawa negara itu bersedia untuk menghantar kumpulan pertama senjata berat ke Ukraine, lapor laman RT semalam.

Antara senarai senjata berat yang akan dihantar termasuk  peluru berpandu darat ke udara dan kereta kebal.

Menurut media tempatan El Pais, Kementerian Pertahanan Sepanyol sedang memuktamadkan penghantaran peluru berpandu antipesawat Aspide. Misil itu tidak lagi digunakan oleh angkatan bersenjata Sepanyol dan digantikan dengan sistem peluru berpandu  lebih maju.

Madrid juga dilaporkan bersedia untuk membekalkan kereta kebal tempur Leopard A4 buatan Jerman kepada Kiev.

Sama seperti dalam kes peluru berpandu, perkakasan itu tidak lagi digunakan dalam  sektor ketenteraan Sepanyol.

Sepanyol menerima kereta kebal tempur itu dari Jerman pada tahun 1995 dan hanya menjadi perhiasan di pangkalan logistik Tentera Sepanyol sejak 10 tahun lalu.

Sumber pertahanan yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, sebanyak 40 kereta kebal Leopard boleh dihantar ke Ukraine.

Setakat ini, Sepanyol hanya membekalkan Ukraine dengan senjata ringan  dan peluru.

Titik perubahan dasar itu berlaku apabila Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkunjung ke Kiev dan bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Duta Ukraine di Madrid, Sergey Pohoreltsev berkata bahawa senjata ringan yang disediakan Sepanyol setakat ini tidak mencukupi.

“Kami bersyukur tetapi kami tidak boleh mengatakan bahawa kami berpuas hati,” ujar Pohoreltsev.

Pohoreltsev meminta penghantaran peluru berpandu antikapal dan antipesawat, meriam 55 milimeter, mortar 120 milimeter dan kereta kebal Leopard. 

Duta itu turut menegaskan bahawa Ukraine tidak meminta apa-apa yang tidak dapat disumbangkan oleh Sepanyol. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI