fbpx

Sepanyol Masters: Arif-Roy King akur naib juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF (kanan) dan Roy King kempunan untuk meraih gelaran sulung musim ini selepas tewas di perlawanan akhir Sepanyol Masters sebentar tadi. - FB BAM

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk meraih gelaran sulung musim ini tidak tertunai apabila tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Sepanyol Masters.

Dalam aksi final yang berlangsung di Centro Deportivo Municipal Gallur, Madrid sebentar tadi, Arif-Roy King dipaksa bekerja keras sebelum tewas 18-21, 21-17, 19-21 kepada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia.

Meskipun gagal membawa pulang gelaran, namun beregu No.65 dunia itu sudah menunjukkan peningkatan dengan mara ke pentas final selepas mereka sekadar menamatkan Terbuka Switzerland minggu lalu di pusingan kedua.

Pada perlawanan itu, Gutama-Isfahani menerapkan corak permainan menyerang untuk memenangi set pertama sebelum Arif-Roy King bangkit di set kedua bagi mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

kedua-dua beregu menampilkan aksi cukup seimbang di set ketiga apabila saling bertukar servis, namun tuah menyebelahi pasangan Indonesia apabila berjaya memastikan kemenangan 21-19 seterusnya muncul juara.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki menjadi milik bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew yang menewaskan pemain Perancis, Toma Junior Popov dengan aksi tiga set 21-11, 15-21, 22-20 dalam tempoh 58 minit.

Bekas pemain No.1 dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon pula memastikan kejuaraan dalam acara perseorangan wanita apabila menang 21-12, 21-9 ke atas rakan sepasukan, Supanida Katethong.

Gelaran beregu wanita menjadi milik Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun selepas berjaya menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 12-21, 21-8, 21-16.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari membenam cabaran Cheng Xing-Zhang Chi dari China menerusi aksi tiga set 17-21, 21-12, 21-13.

Sebagai rekod, pemenang acara beregu pada kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu membawa pulang hadiah wang tunai AS16,590 (RM78,419) berserta trofi manakala juara perseorangan meraih AS$15,750 (RM74,416) dan trofi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI