fbpx

Kerajaan komited lonjak prestasi perdagangan, pelaburan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi 2022 Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal komited untuk melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan akan terus memastikan urusan para pemain industri dipermudahkan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan.

Jelasnya, menerusi langkah-langkah yang diambil itu, ia akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.

“Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion, berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

“Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi 2022 Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik juga semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik, apabila ia mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus sebagaimana yang diunjurkan.

“Pembukaan sempadan juga telah merancakkan usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.

“Seramai dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini, yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi semasa jangkitan Covid-19.

Beliau memberitahu, kerajaan juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan kestabilan kesihatan awam, berada pada tahap yang memuaskan serta berfungsi dengan baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI