fbpx

Pelepasan 298 jemaah haji ke Tanah Suci berjalan lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEPANG – Pelepasan bakal jemaah haji seramai 298 orang ke Tanah Suci Mekah hari ini berjalan dengan lancar selepas dua tahun tiada sebarang penghantaran jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu.

Kumpulan sulung bakal jemaah Malaysia ke Tanah Suci itu dilihat sudah berkumpul di Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick, di sini sebelum Subuh lagi bagi mengelakkan sebarang kesesakan.

Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kelancaran proses bakal jemaah melapor diri pada hari ini adalah hasil pelarasan yang dirancang dan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Alhamdulillah kita dapat lihat sendiri pada pagi ini apabila proses melapor diri bagi penerbangan yang pertama bakal jemaah haji ke Tanah Suci berjalan dengan lancar dan semua perkara telah kita rancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Cabaran yang kita hadapi adalah apabila pengumuman penghantaran jemaah haji tahun ini dibuat agak lewat maka banyak persediaan terpaksa dibuat dalam tempoh yang amat singkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Turut hadir menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Duta Besar Arab Saudi, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Menurut Syed Saleh, pihaknya bersyukur kerana walaupun dalam tempoh yang singkat, para jemaah telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada Tabung Haji sekaligus melancarkan proses penghantaran jemaah ke tanah suci.

“Dalam penerbangan yang pertama ini bagaimanapun seramai tiga jemaah telah positif Covid-19 dan mereka telah maklumkan kepada kami lebih awal jadi kami menasihati mereka supaya melalui proses dan prosedur ditetapkan iaitu kuarantin dan sebagainya.

“Jika selepas itu mereka tiada lagi simptom, ujian calitan didapati negatif dan penerbangan masih ada, kami akan cuba sedaya upaya mendapatkan tempat duduk kosong untuk mereka ke Tanah Suci,” ujar beliau.

Kumpulan pertama bakal jemaah haji itu dijangka berlepas pada pukul 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan SV 5635 dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 4.55 petang waktu Arab Saudi atau 9.55 malam waktu Malaysia.

Tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji musim 1443H/2022.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI