fbpx

Gaya ‘rockstar’ Harry Styles, Harry’s House bukti konkrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRY STYLES

MEMUATKAN 13 buah trek dalam diskografi terbaharu berjudul Harry’s House, apa lagi yang boleh peminat nafikan tentang kemilau seorang rockstar bernama Harry Styles.

Yang pasti, pemilik nama sebenar Harry Edward Styles itu benar-benar hadir bukan hanya dengan ‘buah tangan’ paling baharu tetapi membuktikan, dia kini pemuzik paling gemerlapan terang bintangnya.

Berdurasi sekitar 42 minit, tidak keterlaluan jika disimpulkan tiada satu atau sesaat pun momen lompong dalam setiap perkongsian lagu dalam Harry’s House. Styles kini berbanding era bersama One Direction semakin ‘besar’ bukan hanya sebagai vokalis, bahkan seorang komposer hebat.

Buat penulis secara peribadi, dalam kalangan bekas ahli kumpulan lain, Harry paling jitu semangat seninya. Dia tahu benar apa rona yang ingin dicorakkan dalam kanvas seninya.

Menjadi seorang rockstar yang tidak pusing akan tanggapan orang luar terhadapnya, baik sebagai penyanyi, penggubah lagu, ikon fesyen dan hatta seorang pelakon (Ya, peminat semua tak sabar melihat kemunculan lebih ‘panjang’ Harry dalam galaksi MCU menerusi watak Eros atau Starfox iaitu adik kepada Thanos).

Solo terbaik, emosi 1980-an

Berbalik soal kualiti yang dicernakan menerusi album Harry’s House, album berkenaan merupakan antara yang terbaik pernah dihasilkan lelaki berusia 28 tahun itu sepanjang kariernya sebagai penyanyi solo.

Bukan bermakna Harry Styles yang diluncurkan pada 2017 dan Fine Line (2019) tidak bagus tetapi album kali ini benar-benar rasa ‘dekat’ dengan jenama Harry; seorang pemuzik yang sangat sinonim dengan genre muzik berkait pop funk, pop rock, synth pop dan R&B.

MENERAPKAN elemen 1980-an, album terbaharu Harry Styles, Harry’s House akan terus mengukuhkan jenama bekas ahli kumpulan One Direction itu sebagai putera muzik yang beraja di hati peminat global.

Nuansa album dimulakan dengan trek pertama berjudul Music For a Sushi Restaurant. Siapa yang tergamak atau terfikir nak buat lagu tentang restoran sushi sebagai judul? Orangnya tak lain tak bukan, Harry Styles!

Permainan bes dan dram dalam lagu berkenaan sungguh mengubat segala kesedihan yang bersarang dalam hati sesiapa yang mendengar.

Ada elemen 1980-an dan apabila Harry memasukkan frasa ‘scooby doopy doop’ dan saksofon makin ligat, itulah momen bahawa Music For a Sushi Restaurant menduduki tangga tiga teratas kegemaran penulis dalam album berkenaan.

Perjalanan diteruskan lagi dengan lantunan kualiti trek kedua, Late Night Talking. Ditulis oleh Harpoon dan Styles sendiri, lagu berkenaan pantas membentuk senyuman di bibir dan meragut segala kesedihan dan ketidakseragaman emosi dalam jiwa.

Bahagian korusnya adalah antara yang paling kuat antara karya lain yang terkandung dalam Harry’s House.

‘If you’re feeling down, I just wanna make you happier, baby.’

Demikian antara bait lirik dalam Late Night Talking yang barangkali kedengaran biasa, namun dipadankan dengan magis muzik, kejujuran melodi dan termasuk listrik vokal Styles yang bersahaja namun mempunyai identiti, semua itu memberi impak berbekas kepada pencinta muzik.

Grammy, komersil

Berganjak ke trek keempat, As It Was yang barangkali merupakan lagu paling popular dalam dunia ketika in merupakan sebuah mahakarya Harry Styles. Bukan hanya mudah meresap masuk dalam jiwa pendengar, lagu berkenaan tidak mustahil akan menerima ‘sesuatu’ pada Grammy Awards edisi akan datang.

Bukan hanya meroket dari segi jualan ataupun sudut komersil, As It Was seakan-akan mencanang kepada dunia bahawa Harry sememangnya seorang rockstar ataupun putera muzik yang sedang merajai apa sahaja perkara yang dikerjakan atau disentuhnya.

BEBERAPA lagu, Music For a Sushi Restaurant, Late Night Talking dan As It Was dalam album terbaharu Harry Styles kini menjadi antara single baharu yang mendunia.

Dari segi komposisi muzik, nukilan lirik yang bersahaja, namun melekat di cuping telinga dan minda pendengar, As It Was memberi satu lagi anjakan paradigma Harry Styles sebagai pemuzik berkualiti. Jauh perjalanan sejak zaman X Factor atau One Direction, dia sekarang menjadi antara bintang global paling berjaya.

Selain tiga lagu yang disebutkan, Harry’s House juga memuatkan banyak lagu yang mudah menjadi kegemaran. Buat penulis secara peribadi, Matilda yang dimainkan lebih ‘intim’ atau stripped down hanya dengan petikan gitar dan vokal adalah antara yang membekas di hati.

Secara keseluruhan, Harry’s House merupakan sebuah diskografi yang ‘celaka’, sungguh hebat pembikinannya. Sebuah album yang akan melariskan jenama Harry Styles sebagai seorang pemuzik berkaliber. Markah peribadi: 90/100 (A+).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI