fbpx

Harga 10,000 barang makanan di Jepun dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pembeli memilih produk makanan di sebuah pasar raya di Tokyo pada 2 Mei lalu. – Kyodo

TOKYO – Satu kaji selidik mendapati lebih harga 10,000 produk makanan di Jepun akan meningkat secara purata 13 peratus pada tahun ini  yang didorong peningkatan kos bahan mentah di samping susut nilai mata wang yen, lapor agensi berita Kyodo News kelmarin.

Kaji selidik oleh firma penyelidikan kredit, Teikoku Databank Ltd. itu mendapati sebanyak 105 syarikat pengeluar makanan utama telah menaikkan harga 6,285 produk pada bulan ini, manakala harga 4,504 barangan lain  dijangka meningkat bermula Julai ini.

Pandemik Covid-19 dan perang berterusan di Ukraine menyebabkan sebilangan besar syarikat di  Jepun menjual produk pada harga lebih tinggi susulan peningkatan kos terutamanya  gandum dan minyak mentah.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, Rusia yang merupakan pengeksport gandum terbesar dunia diikuti Ukraine membentuk kira-kira 30 peratus bekalan gandum dunia.

Harga purata yang ditetapkan Kementerian Perladangan Jepun untuk menjual gandum import kepada syarikat-syarikat pengilang negara itu meningkat sebanyak 17.3 peratus sejak April lalu.

Situasi diburukkan lagi oleh susut nilai mata wang yen yang mengakibatkan kos import bahan mentah meningkat sekali gus  membawa kepada peningkatan kos pengeluaran.

Menurut kaji selidik bank data Teikoku, syarikat-syarikat tempatan cuba meminimumkan impak kenaikan kos kepada pengguna menerusi kaedah ‘kenaikan harga tersembunyi’, di mana saiz produk dikurangkan tanpa menaikkan harga.

Namun, kenaikan kos bahan mentah seperti  gandum  dilihat melebihi daripada yang mampu diserap oleh peniaga.

Kaji selidik yang sama turut mendedahkan bahawa minuman beralkohol dan  minuman lain dijangka  mengalami kenaikan harga terbesar iaitu purata 15 peratus, didorong oleh peningkatan kos gandum dan pembungkusan botol.

Harga makanan proses pula bakal meningkat sekitar 14 peratus,  gula-gula naik 12 peratus, serbuk perasa bertambah  11 peratus dan roti meningkat sembilan peratus.

Teikoku Databank berkata, syarikat-syarikat berkemungkinan besar tidak dapat menyerap kenaikan kos bahan mentah manakala  harga pelbagai barangan dijangkan meningkat lagi dalam masa setahun. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI