fbpx

Rupanya ramai tidak mampu beli baju raya tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Disebabkan kos sara hidup yang kian meningkat, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam kebanyakannya memilih untuk tidak membeli baju raya pada tahun ini.

Malah, ramai yang berpendapat baju raya yang dijual di pasaran terlalu mahal sehingga boleh mencecah ratusan ringgit sepasang.

Tinjauan Kosmo! di laman TikTok mendapati, ada yang tidak mampu untuk membeli pakaian untuk digayakan pada pagi Aidilfitri kerana sebahagian besar wang diperuntukkan untuk membeli keperluan sekolah anak-anak.

Menerusi perkongsian seorang pengguna, dia terpaksa melupakan hasrat membeli baju raya untuk anak-anak dan isteri kerana wang gaji yang diterima hanya cukup-cukup makan.

“Makan pun terpaksa catu, beli lauk ayam potong empat untuk kami sekeluarga makan semasa berbuka dan sahur,” katanya.

Sementara itu, menurut Nur, keluarganya juga tidak membeli pakaian raya walaupun anak-anak kerap dibelikan baju baharu atas faktor kewangan.

“Tahun ini, memang tidak ada duit untuk beli baju raya. Mungkin kami sekeluarga juga tidak akan pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, ada pengguna lain yang enggan membeli baju raya kerana baru sahaja kehilangan ahli keluarga terdekat.

Menurut Linda, Aidilfitri tahun ini bakal disambut secara sederhana memandangkan dia kehilangan suami tercinta.

“Raya kali ini merupakan ujian paling hebat untuk kami sekeluarga, selepas kematian suami, kini kami sekeluarga kehilangan tempat tinggal. Macam mana kami hendak sambut raya jika begini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI