fbpx

PH tolak cadangan Ismail Sabri kembalikan GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memaklumkan tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) di negara ini.

Difahamkan, cadangan itu dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini.

Majlis Presiden PH yang diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan DAP Loke Siew Fook dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengembalian GST tidak wajar kerana keadaan inflasi yang semakin tinggi.

“Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat akan menyebabkan rakyat menerima tekanan dahsyat.

Sementara itu katanya, persepsi serta pentadbiran kerajaan belum pulih sepenuhnya akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan pentadbiran kerajaan telah berjaya dilaksanakan.

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” tegasnya.

Tambahnya, Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu.

Susulan itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu terbabit terus membelenggu rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI