fbpx

Kena serangan jantung, Jasmin Hamid dimasukkan ke CCU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Nazmr, Jasmin Hamid kini ditempatka di CCU akibat terkena serangan jantung.

PETALING JAYA – “Kepada yang sayangkan Jasmin, mohon panjatkan doa untuk Allah SWT panjangkan usianya dan diberikan kesembuhan seperti sediakala secepat mungkin. Terima kasih.”

Sayu namun itulah luahan suami kepada pelakon senior Jasmin Hamid, Nazmir memohon kepada orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan isterinya supaya dipanjangkan usia dan diberi kesembuhan seperti sediakala.

Menurut pemilik nama penuh Nazmir Abd. Rahi, Jasmin terpaksa dikejarkan ke hospital di ibu negara dan ditempatkan di unit penjagaan kritikal (CCU) akibat diserang sakit jantung.

Perkhabaran tersebut dikongsi sendiri suaminya, Nazmir Abd. Rahi menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram milik aktres tersebut hari ini.

“Assalamualaikum semua. Saya suami kepada Jasmin mahu berkongsi keadaan terkini isteri saya. Sekarang dia berada di wad CCU, bukan ICU (unit jagaan rapi) kerana serangan jantung buat pertama kali semalam.

“Keluarganya mempunyai sejarah serangan jantung. Tekanan darah dan degupan jantungnya juga agak rendah,” tulis Nazmir.

Dalam hantaran sama, lelaki berusia 36 tahun itu turut memaklumkan bahawa doktor terpaksa memberikan bantuan ubat kepada pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu bagi membantu melancarkan pengaliran darah ke jantung.

Dalam ruangan komen, ramai rakan-rakan dalam kalangan artis turut terkejut dengan berita tersebut dan mendoakan agar pelakon berusia 46 tahun itu diberikan kesembuhan.

“Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan buat mama Jasmin Hamid. Dia merupakan seorang wanita kuat yang saya kenali,” kata aktres Lisa Surihani.

“Allahuakbar. Semoga kak Jasmin selamat dan sihat,” kata aktor Fizo Omar.

“Ya Allah. Semoga kakak kesayangan saya beroleh kesembuhan dengan cepat. Sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” kata pelakon dan juga penyanyi Erra Fazira.

Sekadar info, Jasmin dan Nazmir mendirikan rumah tangga pada 19 November tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang tidak dihebahkan kepada pihak media. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI