fbpx
CAPRICE dalam pendedahan malam tadi mengakui isterinya kini jatuh sakit akibat disihir.

Isteri kena sihir, Caprice mohon bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas membuatkan pendedahan tentang gangguan mesej daripada lelaki tidak dikenali, rumah tangga penyanyi rap, Caprice teruji lagi apabila isterinya, Farra Inalis berdepan sihir sehingga jatuh sakit dipercayai akibat perbuatan khianat dan rasa tidak puas hati individu tertentu.

Akui pemilik nama sebenar Ariz Ramli, setakat ini mereka sudah mencuba pelbagai kaedah rawatan termasuk secara alternatif namun Farra masih belum menunjukkan tanda positif.

“Sebelum ini, saya fikir selepas kahwin tentu ujian akan lagi berkurangan. Di sebalik semua senyuman, filters dan video-video yang dipaparkan sebenarnya, sejak tujuh bulan lalu, saya melalui banyak benda baharu yang kena diuruskan.

“Kali ini kita cuba bantu isteri pula. Dah beberapa kali ustaz datang berubatkan dia. Selain itu, baru-baru ini, ada pula tiga orang lain yang berani menghubungi dia di telefon di tengah malam dan ganggu.

“Saya cuma nak tahu, kenapa ramai masih tak puas hati dengan isteri saya?” katanya menerusi hantaran di Instagram malam semalam.

Dalam perkongsian video sama, usahawan tersebut dilihat memegang tangan Farra yang sedang tidur sambil memasang ayat al-Quran dan ruqyah bertujuan sebagai penenang.

Caprice, 34, turut meluahkan kepenatan melayani satu persatu perkara seumpama itu yang melanda kehidupan mereka selain meminta pertolongan ramai.

“Terus-terang, saya sudah sangat penat. Nak hadam bisnes dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Lepas itu, sambung dengan benda bukan-bukan sampai pukul 3 hingga 4 pagi. Saya perlukan bantuan,” katanya lagi.

Caprice bagaimanapun tidak memperincikan lebih lanjut mengenai keadaan atau tahap kesihatan terkini insan kesayangannya itu.

Dalam ruangan komen pula rata-rata pengikut menzahirkan rasa simpati dengan dugaan yang menimpa pasangan terbabit selain mendoakan segala-galanya dapat kembali pulih.

Pada masa sama, ada dalam kalangan peminat memberikan cadangan termasuk meminta Caprice membawa Farra ke pusat rawatan Islam.

Terdahulu, selebriti media sosial berkenaan pernah mendedahkan isterinya diganggu seorang lelaki dikenali dengan nama Najib di aplikasi WhatsApp.

Dia turut memberi amaran terbuka kepada individu tersebut di laman media sosialnya serta meminta lelaki itu memohon maaf secara bersemuka.

Farra yang turut mempunyai ramai pengikut media sosial sebelum menjadi teman hidupnya pada November tahun lalu mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu.

Berita pernikahan dengan pasangan berstatus ibu tunggal itu menjadi tular selepas gambar usai pernikahan mereka didedahkan menerusi laman sosial. – KOSMO! ONLINE

POPULAR