fbpx
KEMERIAHAN suasana dengan pemandangan burung-burung berterbangsan dapat disaksikan dalam satu pertandingan menobatkan merpati hias terbaik di Tendong, Pasir Mas baru-baru ini.

Merpati hias boleh cecah RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESAR, bulat dan bermuka garang itu kriteria ‘kecantikan’ yang dinilai bagi seekor burung merpati hias untuk dinobatkan sebagai juara dalam mana-mana pertandingan melibatkan haiwan tersebut.

Ciri-ciri itu jugalah yang menyebabkan unggas ini begitu istimewa dan semakin menjadi ‘buruan’ ramai di negara ini untuk dipelihara.

Jika ayam mempunyai versi serama yang bersaiz lebih kecil, burung merpati pula terdapat jenis lebih ‘gemuk’ dan berwajah garang yang dinamakan merpati hias.

Baru-baru ini satu pertandingan merpati hias berlangsung meriah di Tendong, Pasir Mas, Kelantan. Pertandingan sehari itu melibatkan 350 peminat burung merpati hias di Malaysia.

Sebanyak tiga kategori burung merpati hias dipertandingkan dalam pertandingan tersebut iaitu ‘Show King’, ‘US Modena’ dan ‘Europe Modena’.

Selain ciri besar, bulat dan bermuka garang, aspek-aspek lain turut diambil perhatian dalam pemberian markah.

“Aspek warna, kebersihan dan kesihatan turut menjadi penilaian pihak juri selain bentuk badannya,” kata salah seorang juri, Hamzah Abdul Rahman ketika ditemui pemberita dalam pertandingan tersebut.

Penganjur program, Wan Hasnan Wan Harun, 40, berkata, merpati hias mendapat tempat dalam kalangan peminat unggas berkenaan di negara ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008.

Kini, katanya, peminat unggas ini boleh disifatkan bertambah apabila sudah ramai tampil membawa burung merpati hias menyertai pertandingan.

“Walaupun pertandingan terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini, namun semangat para peminat merpati hias tidak pernah luntur, sebaliknya kian bertambah.

“Melalui pertandingan, para peminat dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat berkaitan penjagaan unggas berkenaan. Selain itu, mereka dapat melihat baka-baka baharu dan lama yang telah dibawa masuk ke negara ini.

“Burung merpati hias boleh dibeli di mana-mana di negara ini, antaranya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Harganya boleh didapati dari serendah RM20 hingga belasan atau puluhan ribu,” katanya.


MEERPATI hias mempunyai tubuh lebih besar atau ‘gemuk’ daripada merpati biasa.

Menurut Wan Hasnan, setakat ini harga merpati hias boleh mencecah RM12,000 hingga RM25,000 seekor.

Katanya, walaupun nilai tersebut agak tinggi, namun ia tidak menjadi masalah buat peminat merpati hias untuk memiliki baka diidamkan mereka.

“Pastinya pencinta unggas ini menjadi tidak keruan disebabkan oleh kecantikan dan gaya yang diperagakan burung merpati ini,” katanya.

Wan Hasnan berkata, bilangan peminat unggas itu semakin meningkat sejak pandemik Covid-19 apabila ramai yang mula menerokai hobi baharu.

Sementara itu, seorang pemelihara burung itu, Mohd. Shahrudin Sulaiman, 50, berkata, setiap kali pertandingan merpati hias berlangsung di mana-mana tempat, dia pasti akan hadir.

Katanya, pertandingan tersebut turut menjadi ‘medan’ buatnya bertukar-tukar ilmu penjagaan dengan pemilik lain.


DALAM pertandingan, burung-burung merpati hias diadil dari segi bentuk fizikal badan seperti saiz yang besar dan bulat, selain aspek kesihatan dan kebersihannya.

“Melalui cara ini saya dapat menambah baik aspek penjagaan burung merpati hias supaya ia lebih sihat dan tampil bergaya setiap kali menyertai pertandingan,” katanya.

Muhamad Nazli Kadir, 42, pula berkata, dia sebenarnya meminati merpati sejak berusia 10 tahun lalu.

Katanya, merpati disifatkan sebagai unggas yang unik selain mudah dibela.

“Saya menjadi lebih berminat apabila mengetahui ia mempunyai banyak spesies termasuklah merpati hias.Merpati hias cukup unik. Bila dapat berkumpul dengan peminat-peminat unggas ini, saya rasa cukup teruja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN