PETALING JAYA – Kos penjanaan elektrik di negara ini telah meningkat sebanyak 4.5 kali ganda susulan kenaikan harga bahan api fosil di seluruh dunia, menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya, hal ini berikutan arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus bekalan
elektrik di Semenanjung.
Pada masa sama, tegasnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu terus melabur bagi memodenkan Grid Nasional untuk meningkatkan prestasi meskipun rangkaian pembekalan tenaganya sudah mencapai kelas dunia, setanding dengan negara-negara maju.
“Kerajaan sentiasa bekerja rapat dengan TNB bagi memastikan kestabilan industri tenaga.
“Kami meletakkan keutamaan supaya rakyat dapat menikmati bekalan berdaya harap, stabil dan pada harga berpatutan.
“Malah sejak sekian lama, rakyat Malaysia berterusan menikmati kadar tarif elektrik antara terendah di rantau Asia Tenggara,” katanya berucap di Majlis Perasmian Bangunan TNB di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Takiyudin berkata, Grid Nasional perlu dipersiapkan untuk menerima lebih banyak suntikan Tenaga Boleh Baharu agar berupaya menyokong aliran tenaga dua arah dan berselang seli, sambil mengekalkan kestabilan voltan. – KOSMO! ONLINE






