fbpx

Figura dapat sentuhan daripada pakar penyelidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HAFIZ (tengah) bersama sebahagian daripada kakitangannya menunjukkan produk keluaran syarikat Figura International di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, tiada siapa yang mengetahuinya. Melalui usaha, doa dan tawakal, pasti ada jalan untuk memperoleh kejayaan.

Peribahasa itu boleh dikaitkan dengan tuah seorang bekas guru yang pernah mengajar di dua buah sekolah selama empat tahun di Sabah dan Lembah Klang apabila berjinak-jinak dalam bidang insurans dan seterusnya beralih membuka empayar perniagaannya sendiri, Figura (M) Sdn Bhd. (Figura International).

Meskipun kini selesa duduk di meja empuk sebagai pengasas syarikat yang dibangunkan sejak tahun 2021, Mohd. Hafiz Khalid, 43, yang berasal dari George Town, Pulau Pinang itu masih menyimpan minat yang menebal dalam kerjaya mendidik anak bangsa dan sentiasa merindui waktu berada di dalam bilik darjah mengajar murid-murid.

Demi kelangsungan hidup selepas berumah tangga, beliau tidak menoleh ke belakang lagi setelah melepaskan jawatan tetap itu untuk memberi tum­puan sepenuh masa dalam bidang insurans yang mula diceburi pada tahun 2008.

“Usaha mahu mencuba sebagai penjual insurans separuh masa selama setahun telah membuahkan hasil apabila pendapatan diterima agak memberangsangkan dan saya memberanikan diri mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan dan ternyata pendapatannya agak lumayan serta dapat memenuhi komitmen bulanan.

Mohd.Hafiz

“Apabila pendapatan sepenuh masa boleh mencecah sehingga RM12,000 sebulan sebagai penjual insurans, saya nekad untuk terus serius dalam bidang tersebut.

“Sepanjang perjalanan dalam kerjaya itu, saya berjaya memperoleh pelbagai anugerah yang menobatkan usaha gigih selama ini sebagai ejen terbaik selama empat tahun berturut-turut selain anugerah pengurus agensi terbaik dengan disokong oleh kumpulan ejen di bawah kendalian saya,” katanya ketika ditemui di pejabat Figura International di Setapak Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bersandarkan pengalaman yang meluas dalam perkhidmatan tersebut, Mohd. Hafiz lebih tertumpu kepada pelanggan dari­pada golongan kenamaan dan profesional yang memerlukan perhatian daripadanya.

Melalui hubungan baiknya itu, beliau sentiasa mendapat soko­ngan daripada pakar-pakar ilmuwan dalam bidang masing-masing dari institusi pengajian tinggi tempatan.

“Selepas 15 tahun dalam bidang insurans, saya merasai industri itu tidak memberi cabaran baharu kepada diri dan mahu melangkah ke bidang lain yang lebih menarik.

“Lantas pelawaan seorang ahli sains untuk mencuba satu produk makanan tambahan berkaitan penjagaan kesihatan membuka idea dan pemikirannya untuk melangkah lebih jauh dalam dunia dagangan dan peruncitan.

“Saya dan ahli keluarga saya mencuba produk suplemen itu terlebih dahulu dan ternyata ia benar-benar berkesan dalam menyelesaikan masalah kesihatan.

“Berat badan saya juga menurun secara semula jadi selain mampu meningkatkan kualiti kesihatan diri,” ujarnya.

Setelah perancangan dibuat, selain kajian dan pembangunan dilaksanakan bagi dua produk keluaran syarikat, Figura S dan Figura Coffee Latte telah mula diperkenalkan di pasaran pada bulan Julai 2021.

“Lebih menarik, cadangan untuk membangunkan produk penjagaan kesihatan tersebut sebelum ini telah disokong oleh tiga pakar penyelidik iaitu Prof. Emeritus Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad, Prof. Dr. Noor Hassim Ismail dari Fakulti Perubatan UKM dan Ketua Kluster Penyelidikan Makanan Fungsian, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Wan Aida Wan Mustapha.

“Kepercayaan mereka terhadap produk keluaran tersebut ternyata menjadi satu bonus kepada Figura International untuk mendapat kepercayaan yang tinggi daripada pelanggan sekali gus mudah menembusi pasaran tempatan,” jelasnya.

Tambah Mohd. Hafiz, hasil daripada penyelidikan yang dibuat, antioksidan yang terkandung dalam produk Figura S adalah tujuh kali lebih tinggi daripada vitamin C.

Produk Figura S dijual pada harga RM169 sekotak dan Figura Coffee Latte ditawarkan pada harga RM65 sekotak.
Jualan produk kini mencatat sehingga lebih 3,000 kotak sebulan berbanding hanya 100 kotak sebulan pada awal kempen jualannya.

Lebih menarik, pendapatan syarikat kini selepas 11 bulan beroperasi telah merekodkan pencapaian sehingga RM2.3 juta, ini dipacu oleh keyakinan pelanggan yang terus membeli produk penjagaan kesihatan Figura International.

Mohd. Hafiz memberitahu, kejayaan syarikat kini turut disokong oleh komitmen para pengedarnya yang aktif mempromosikan serta memperluas pasaran ke seluruh negara.

Ia juga memiliki lima cawa­ngan pengedarannya di kawasan Utara iaitu di Bertam, Pulau Pinang; Sungai Petani, Kulim dan Langkawi, Kedah serta satu cawangan di Klang, Selangor.

Menurut beliau, pengedarnya yang seramai 4,000 orang itu membantu meningkatkan pendapatan syarikat, selain me­ngukuhkan jenama Figura International di pasaran semasa dalam persekitaran ekonomi yang baru pulih daripada pandemik Co­vid-19.

Pengoperasian jualan menggunakan konsep rangkaian pengedaran (business networking) itu berkesan membina empayar pemasaran yang kukuh daripada peringkat stokis dan ejen.

“Pengedar yang aktif mampu mencatat jualan antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan dan kami mahu lebih ramai orang ­menyertai Figura International untuk sama-sama berkongsi rezeki membangunkan empayar perniagaan ini,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI