PELAKON, pengarah dan pembikin filem tersohor negara, Datuk Yusuf Haslam sudah mengecapi kegemilangan dalam industri filem Melayu sejak dahulu, kini berbangga usahanya itu diteruskan oleh anak-anakya.
Menerusi kolum Wawancara minggu ini, beliau berbicara tentang untung nasib pembikin filem sejak dahulu hingga kini yang dilihat semakin mencabar selari dengan arus perubahan dunia digital.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi apa yang dirasainya tentang perkembangan dunia seni, terutamanya industri perfileman negara termasuk pandangan mengenai bagaimana meraih pulangan berbaloi dalam setiap filem yang dihasilkan.
——————————————————————————————————————————————————————————————–
SIAPA yang tidak kenal dengan legenda dunia seni tanah air, Datuk Yusof Haslam. Berkecimpung di dalam dunia seni lebih lima dekda lalu, namanya sering disebut-sebut sebagai individu yang berjaya menghasil dan menerbitkan filem-filem menarik sehingga berjaya pecah panggung.
Memulakan kerjaya dalam usia 18 tahun sebagai pelakon ekstra dalam filem hitam putih keluaran Merdeka Studio di awal tahun 70an. Beliau kemudian menjadi pelakon filem-filem warna secara serius sehinggalah beliau menubuhkan syarikat produksi Skop Productions pada tahun 1985.
Bukan sahaja bergelar pelakon, pengarah dan penerbit filem, figura ini bahkan turut dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya kerana selain mempunyai syarikat produksi yang paling lama bertahan di negara, beliau juga mempunyai rantaian restoran yang dikenali sebagai Restoran Haslam.
Tidak cukup dengan itu, beliau bahkan pernah digelar Six Million Dolar Man dalam kalangan masyarakat atas kejayaan beberapa filem arahannya sebelum ini termasuk Sembilu dan Gerak Khas The Movie.
Mengambil pandang dari perspektif ‘orang lama’ terhadap industri perfileman negara, wartawan Kosmo! Ahad KHAIRIYAH HANAFI menemubual penerbit dan ahli perniagaan tersohor negara, Datuk Yusof Haslam di pejabatnya baru-baru ini.
KOSMO AHAD!: Sebagai orang lama dalam industri perfileman Melayu di negara ini, apa yang Datuk dapat lihat tentang perkembangan dunia seni terutamanya melibatkan penghasilan filem pada masa kini. Adakah semakin maju atau sebaliknya ?
YUSUF: Jika dikira bermula tahun 2007 hingga tahun 2019 banyak filem-filem tempatan yang mencatat kutipan box office malah ada yang mencapai kutipan mega box office di luar jangkaan yang mana dahulu kutipan-kutipan ini hanya dicapai oleh filem-filem Hollywood sahaja.
Tetapi oleh kerana pandemik, kita tersangkut selama dua tahun lebih. Covid-19 bukan sahaja membantutkan industri perfileman tempatan bahkan di negara luar apabila pawagam-pawagam menjadi lesu dan menanggung kerugian besar termasuk dalam kalangan producer sendiri.
Saya sendiri sangkut dua filem yang menelan kos jutaan ringgit iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 yang sepatutnya ditayangkan pada pertengahan tahun 2020. Bagaimanapun bagi saya apa sekalipun perjuangan perlu diteruskan.
Kita terpaksa bertahan dalam keadaan pandemik, ekoran situasi semasa pada waktu itu dan program televisyen juga semakin jarang disiarkan. Pun begitu kita masih lagi buat dalam skala yang sederhana kerana keadaan tidak mengizinkan.
Sejak kebelakangan ini, kebanyakan filem Melayu yang dihasilkan kurang mendapat sambutan ketika ditayangkan di pawagam, cuma ada beberapa sahaja yang berjaya pecah panggung. Pada pendapat Datuk, apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku sama ada penceritaannya kurang menarik, kurang promosi atau ada faktor lain di sebaliknya?
Saya rasa filem tempatan tidak banyak pecah panggung jika mahu dibandingkan dengan American Movie, merupakan perkara biasa. Sebagai kaki wayang, saya perhati sendiri carta filem-filem Inggeris dan daripada 100 filem Inggeris yang ditayangkan selama 12 bulan di pawagam, hanya 20 sahaja berjaya pecah panggung. Selebihnya biasa-biasa sahaja dan ada juga yang berada di bawah par.
Lumrah dalam mana-mana industri itu pun tidak semuanya sukses. Ada yang sukses, sederhana kutipannya, rugi dan sebaliknya. Ini adalah perkara biasa dalam apa juga bidang yang kita ceburi.
Salah satu sebab situasi ini berlaku mungkin disebabkan content yang tidak menepati cita rasa penonton atau beberapa aspek lain memandangkan penonton sendiri mempunyai pilihan masing-masing.
Saya sendiri tidak berani jamin setiap filem yang dihasilkan pasti mendapat sambutan. Kita hanya buat sehabis mampu dan serahkan kepada penonton untuk membuat penilaian. Akhirnya Allah yang tentukan rezeki kita.
Strategi pemasaran juga memainkan peranan yang penting tetapi apa yang pasti di akhirnya sekali kita hanya mampu serahkan rezeki kepada Allah dan itu yang kita amalkan.
Ada yang berkata, kejayaan atau kegagalan sesebuah filem itu adalah bergantung kepada kandungan dan pemasaran (promosi) yang dibuat sesebuah syarikat produksi. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut?
Tidak dinafikan tetapi itu bukan sebab utama kerana banyak filem yang turut all out dari segi promosi tetapi disebabkan content yang dihasilkan tidak menepati cita rasa masyarakat, banyak kelemahan, pembikinannya buruk, pastinya ia juga tidak akan mendapat sambutan. Bahkan ada juga yang ‘tidak jalan’ tetapi kualitinya bagus.
Saya tidak menafikan ada filem-filem yang kurang sambutan, tetapi contentnya baik mungkin juga disebabkan ia tidak ‘kena’ dengan jiwa penonton.
Begitu juga sebahagian daripada filem Inggeris, yang mana saya dapati ia mempunyai jalan cerita yang bagus tetapi tiada penonton. Mungkin tiada tarikan dari segi penjenamaan atau sebagainya kerana filem ini juga ada kaitan dengan penjenamaan dan pemasaran.
Saya melihat kebanyakan produksi kita mampu menghasilkan filem dengan kos yang agak besar tapi malangnya mereka abaikan soal promosi. Ini yang silap kerana setiap produk perlukan promosi untuk menarik pelanggan.
Sebenarnya banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu diberi perhatian.

Industri perfileman di Indonesia disifatkan lebih ke hadapan, bebas dan berkembang berbanding di Malaysia sehingga mampu melahirkan filem dan drama berkualiti. Apa komen Datuk dalam perkara ini?
Dialog ini sudah lama saya dengar sebelum ini. Bagi saya Indonesia ada filem-filem yang baik dan tidak dinafikan ada juga yang lebih buruk daripada kita.
Perkara-perkara seperti inii sangat subjektif dan bukan mudah. Saya sendiri tidak tahu selera penonton dan saya ada membuat kajian secara rambang yang mana kita melihat di mana gelombang penonton pada hari ini.
Walaupun syarikat saya telah menghasilkan 40 judul filem tetapi kami sentiasa berhati-hati. Bidang ini banyak cabaran dan risiko yang sukar dijangka. Apa yang saya kecapi sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya berlaku selepas melalui perjalanan yang perjuangkan. Syukur Alhamdulillah anak-anak saya meneruskan perjuangan dan mampu dimensi baru seiring dengan perkembangan dunia digital
Saya mula membuat filem pertama yang berjudul Bayangan Maut pada 1990 selepas menubuhkan Skop Production pada tahun 1985 yang mana lima tahun sebelum itu saya hanya menumpukan pada pembikinan drama televisyen sahaja. Saya kira tempoh tersebut diambil untuk mencari pengalaman dan menyusun strategi bagaimana mahu mengedar filem yang dihasilkan. Tetapi saya tidak nafikan isteri memainkan peranan yang penting dan dia selalu memberikan maklumbalas untuk setiap filem yang saya jalankan selain memberi nasihat sentiasa bina kekuatan.
Mengambil contoh filem Bayangan Maut pada asalnya ia merupakan cerita polis tetapi kandungannya berubah seperti pengambilan Ella sebagai pelakon yang mana semua itu adalah suntikan idea daripada isteri. Jika tidak, watak-watak pelakon tersebut dipegang oleh pelakon lain.
Isteri sentiasa memikirkan tarikan untuk filem yang bakal dibikin dan dia mahu melihat fenomena serta sentiasa cari formula untuk ada tarikan dalam setiap filem yang saya hasilkan. Alhamdulillah, dengan bajet RM300,000 pada waktu itu, filem tersebut berjaya mengutip lebih sejuta ringgit dan dari situlah kita berkembang.
Sama seperti filem Sembilu yang mana idea tersebut datang daripada isteri. Strategi isteri saya memang betul kerana Industri filem merupakan satu perniagaan dan tidak boleh dipandang dari sudut seni semata-mata.
Hollywood, Bollywood terus bergerak maju kerana mereka berfikiran positif dan tidak terperangkap dengan retorik. Dalam filem-filem yang dihasilkan pembikin boleh berkarya dengan menyerapkan mesej tanpa abaikan aspek seni filem itu sendiri.
Menjadi pembikin dan pembuat filem adalah satu bidang yang berisiko tinggi kerana sukar dijangka sambutannya. Oleh itu kita kena sentiasa berhati-hati agar tidak kecundang.
Datuk telah berjaya meninggalkan legasi hebat dalam industri perfileman negara dalam kalangan anak sendiri iaitu Syamsul dan Syafiq yang bukan sahaja dua pengarah berbakat, malah hebat memberikan idea baharu demi kemajuan industri. Bagaimana Datuk ‘melatih’ mereka sehingga berjaya mengeluarkan filem-filem bermutu dan pecah panggung?
Saya pun tidak menyangka ini akan berlaku memandangkan isteri pernah berkata bahawa saya sudah berjaya sebagai pembikin filem sebaliknya anak-anak tidak tahu lagi. Jadi isteri berkata jangan halang apa yang anak-anak mahu lakukan.
Saya tidak pernah memaksa sebaliknya ia mungkin disebabkan mereka terlahir daripada sekolah Skop Production dan melihat kesibukan saya menghasilkan filem sejak kecil lagi. Mereka memang minat dan secara tidak langsung mereka menimba ilmu menerusi pengalaman.
Jadi apabila mereka mula masuk kolej dalam bidang perfileman, mereka belajar kaedah penulisan skrip dan sebagainya sehingga akhirnya menjadi lebih terkedepan. Pun begitu, saya bimbing mereka di peringkat awal dari segi skrip dan penceritaan dan hanya melepaskan mereka apabila filem ketiga atau keempat yang dihasilkan berjaya. Biasalah mereka pun tidak suka diganggu kerana orang muda punya lebih banyak idea daripada kita.
Saya lebih menjaga dari segi sensitiviti terutama babak-babak atau dialog yang keterlaluan mengambil contoh bahasa dalam filem KL Gangster. Pada awalnya saya tidak sedap hati, tetapi apabila sudah ditayangkan, ramai pula yang suka terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
Saya lihat mereka ini ikut zaman dan berjaya menghasilkan cerita yang berlainan daripada konsep saya sebelum ini. Saya bangga kerana anak-anak saya berjaya membawa genre berbeza yang dahulunya saya mahu buat tetapi takut atas faktor ekonomi yang tidak kukuh pada waktu itu. Alhamdulillah dengan izin tuhan filem-filem mereka hasilkan mendapat sambutan.
Ada yang kata, anak Yusof Haslam bolehlah bapa dia producer filem jadi bolehlah buat filem dan berjaya. Saya sangkal dakwaan tersebut. Memang benar platform mereka mudah dan sudah ada, tetapi jika mereka tiada bakat, pastinya perkara tersebut tidak akan menjadi.
Mereka juga melalui praktikal menerusi penglibatan dalam pembikinan drama Gerak Khas, Sembilu dan lain-lain.
Jadi proses pembelajaran bermula dari bawah.Isteri pernah berkata jika filem pertama mereka (anak-anak, Syamsul dan Syafiq) berjaya berilah mereka peluang untuk terus berkarya tapi jika gagal jangan putus semangat dan bimbinglah mereka. Dengan izin Allah SWT, mereka berjaya.
Pun begitu saya selalu ingatkan anak-anak saya bahawa kita kene selalu kuat terima kritikan terutamanya pada dunia hari ini. Jika tidak, pasti sukar untuk mereka berkarya.
Sebelum ini juga, Datuk dilihat serasi dengan drama melibatkan pihak polis seperti Gerak Khas. Boleh ceritakan apa yang mendorong Datuk untuk menghasilkan drama sedemikian sehingga menjadi bualan ramai sehingga kini?
Tidak dinafikan dahulu memang saya minat untuk bergelar inspektor polis tetapi impian tersebut tidak kesampaian. Kebetulan saya begitu meminati cerita bersiri kepolisan dan penyiasatan daripada Amerika, jadi saya cuba dahulu.
Saya banyak belajar dari segi peraturan dan undang-undang. Kita bukanlah polis tetapi banyak dapat bantuan daripada rakan-rakan polis. Hubungan kita dengan Bukit Aman juga akrab dan setiap kali selesai menulis skrip, saya akan hantar ke Bukit Aman untuk semakan.
Ketika saya mahu buka syarikat dahulu, ada dalam kalangan rakan-rakan yang menyuruh saya buat cerita polis kerana kata mereka orang lain semua buat drama kekeluargaan. Jadi kita hantar proposal ke stesen televisyen RTM.
Saya mula buka syarikat Skop Production pada tahun 1985 dan menghantar lima episod. Alhamdulillah ia mendapat sambutan. Seterusnya buat pula siri kedua dan ia semakin mendapat banyak sambutan sehingga ke hari ini.
Mungkin sesetengah penggiat filem di negara ini takut mengalami kerugian untuk menghasilkan sebuah filem yang bermutu kerana kata orang, filem yang baik dan berkualiti memerlukan bajet yang besar dalam pembikinannya. Betulkah begitu?
Tidak semestinya tetapi jika ada kos yang besar, kita perlu lihat kepada genre filem itu sendiri sebagai contoh cerita-cerita gangster seperti Abang Long Fadil 3 yang memang menelan kos yang besar kerana kita buat set markas mafia, sewa satu gudang besar bernilai RM70,000 sebulan. Bahkan kita buat set yang menelan kos sejuta, buat terowong dan lain-lain.
Seperti Misteri Delaila di buat di Fraser Hill pula rumah itu pada asalnya memang kosong, tetapi kita buat semua set dari awal termasuk perabot tangga dan habis RM200,000. Alhamdulillah, filem itu sukses. Mungkin nampak simple tetapi itulah realiti.

YUSUF bangga anak-anaknya berjaya membawa genre berbeza dengan apa yang dihasilkannya sebelum ini.
Ramai muak dengan sesetengah drama di kaca televisyen yang disuapkan kepada mereka pada masa ini yang tidak banyak berubah memaparkan plot cerita yang klise. Kata mereka, asyik-asyik konflik dalaman keluarga korporat, ditipu lelaki ‘playboy’, isteri dianiaya suami dan perbezaan dua darjat. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Saya tidak salahkan penerbit kerana kadangkala mereka menghasilkan drama atas permintaan penaja dan stesen televisyen tersebut. Kadangkala penaja mahu itu ini dan sebagainya dan itulah yang menjadi masalah.
Kekangan mereka ialah terpaksa mengikuti kehendak penaja atau stesen televisen dan ia bukanlah kemahuan penerbit semata-mata. Dalam hal ini bukan nak menyalahkan sesiapa tetapi perlu ada anjakan paradigma.
Semua pihak seperti penerbit, penaja dan stesen TV harus bekerjasama dan berani membuat perubahan
Sebagai legenda dalam dunia seni tanah air yang pernah digelar Six Miliion Dollar Man kerana kejayaan beberapa filem arahan Datuk sebelum ini termasuk Sembilu dan Gerak Khas The Movie, apa resipi kejayaan dikecapi sebenarnya untuk menghasilkan filem-filem bertaraf pecah panggung?
Sebagai syarikat Melayu yang paling lama bertahan dalam industri. Saya tidak pernah berfikir untuk bertahan lama karena bagi saya, saya kerja kerana mahu mencari rezeki untuk anak-anak pada ketika itu.
Kita sebagai manusia biasa. Saya tidak pernah menganggap diri sebagai jutawan tetapi bersyukur kerana Allah beri kita rezeki lebih untuk merasa dan bersyukur kerana anak-anak teruskan perjuangan.
Bagi saya buatlah apa sahaja dengan jujur dan ikhlas, buat kajian mengenai selera yang orang mahu. Sama seperti restoran jika masuk kampung orang jual nasi lemak, anda juallah nasi lemak. Maksudnya di sini, kita cuba selami selera penonton.
Zaman anak muda ini kita kena kenalpasti apakah selera anak muda kerana yang pergi pawagam sekarang ini pun anak muda dan mereka yang tentukan pasaran industri sama ada turun atau sebaliknya.
Selera penonton memang sukar diduga tetapi saya buat kajian secara rambang. Selalunya jika Skop Productions membuat filem sekarang saya akan dapatkan input dan pandangan anak-anak. Situasi ini sama juga dengan pembikin filem otai di luar negara. Generasi lama dan baru perlu bekerjasama.
Saya tidak kata saya tahu formula, tidak tetapi saya cuba dan mungkin formula kita mengena. Setakat ini Alhamdulillah tetapi akan datang saya sendiri tidak pasti bagaimana.
Apakah Datuk masih aktif mengarah filem atau drama dan harapan Datuk terhadap industri ini untuk tempoh 10 atau 20 tahun dari sekarang?
Kadang-kala isteri berkata eloklah saya bersara kerana dia sudah penat melihat saya. Dia sering bertanya “tidak penat ke?”
Saya rasa saya tidak penat, sebaliknya jika saya tidak buat kerja dan tidak berkarya,itulah yang akan membuatkan saya penat. Saya perlu bekerja dalam memastikan otak sentiasa berjalan seperti membuat editing dan mengarahkan drama Gerak Khas memandangkan itu adalah makanan jiwa saya.
Malah sudah menjadi rutin harian saya untuk keluar bersenam setiap pagi dan menguruskan ternakan seperti angsa arnab kambing berpeluh buang toksik bagi segar.Saya tidak boleh duduk diam kerana telah terbiasa bekerja dari usia remaja lagi. Saya akan terus aktif dan bekerja selagi sihat. Insya-Allah.














