fbpx

Zuraida letak jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Katanya dalam satu kenyataan, selari dengan keputusan itu, beliau juga telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana tertarik dengan enam prinsip terasnya.

“Saya mempercayai perjuangan parti itu dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Pada masa sama, Zuraida berkata, beliau selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana ia selari dengan pendirian PBM.

“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI