ALOR SETAR – Seorang sukarelawan persatuan orang kelainan upaya (OKU) mengalami kerugian sebanyak RM100,000 akibat ditipu dalam urusan pembelian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Facebook, dua bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berasal dari Alor Setar telah melayari Facebook sebelum melihat satu akaun Facebook menjual pelbagai jenis kenderaan import terpakai.
Menurutnya, pengadu telah berminat untuk membeli sebuah MPV jenis Toyota Voxy itu untuk kegunaannya.
“Mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran dan atas dasar percaya serta kemahuan melampau, dia membuat pemindahan wang secara berperingkat ke akaun bank diberikan suspek pada April hingga Mei berjumlah RM100,000.
“Penipuan itu mula disedari setelah suspek yang berjanji akan menyerahkan kenderaan tersebut gagal berbuat demikian apabila mendiamkan diri dan gagal dihubungi,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE














