fbpx
PEMIKIRAN kreatif amat diperlukan untuk menjadi seorang creativepreneur bagi membolehkan mereka mengeluarkan idea baharu untuk mencipta produk yang dicari pengguna pada masa kini. – GAMBAR HIASAN

Usahawan berfikiran kreatif perlu untuk majukan bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AFIZAN AMER

CREATIVEPRENEUR mungkin satu istilah asing buat sesetengah orang, namun kini menjadi salah satu kerjaya yang dapat menarik perhatian ramai orang.

Sesuai dengan namanya, profesion ini selari dengan perubahan struktur ke arah ekonomi kreatif.

Istilah creativepreneur adalah gabungan dua perkataan iaitu kreatif dan usahawan, ditujukan kepada seseorang yang bekerja dalam bidang kreatif dan mengembangkan inisiatifnya untuk membangunkan pasaran dalam industri berkenaan.

Bagi yang ingin menceburi industri ini, sudah tentu perlu ada nilai kreativiti untuk mengembangkan bakat dan perniagaan masing-masing.

Tidak sedikit orang yang bertukar kerjaya untuk menjadi sebahagian daripada creativeprenuer Malaysia, terutama dalam memacu semula ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Terdapat banyak bidang berkaitan boleh diceburi seperti animasi, grafik, reka bentuk, seni bina, dalaman, tarian, permainan, muzik, kraf, fotografi, videografi dan pelbagai lagi.

Dalam hal ini, kreativiti merupakan komponen utama dalam kerjaya tersebut kerana sesuatu produk yang hendak dibuat memerlukan idea, konsep, reka bentuk dan sebagainya yang difikirkan dengan teliti.

Ilmu dan kemahiran keusahawanan perlu diasah agar semangat untuk menjadi seorang usahawan tetap tinggi.

Pemikiran kreatif penting untuk menjadi creativepreneur agar mereka mampu menjana idea baharu untuk mencipta produk yang laris dan mendapat permintaan tinggi di pasaran pada masa ini.

Dapat disimpulkan bahawa creativepreneur ialah seseorang mempunyai kebolehan untuk mencipta produk-produk baharu yang ada ciri-ciri tersendiri untuk membangunkan lagi sesuatu perniagaan.

Dalam era digital pada masa sekarang, adalah sangat mudah untuk menjadi seorang creativepreneur di Malaysia.

Di sini, kita utarakan beberapa contoh bidang creativepreneur Malaysia yang berjaya pada era hari ini.

Salah satu contohnya adalah menjadi seorang YouTuber, iaitu mereka yang membuat video semenarik mungkin dengan ciri-ciri tersendiri, kemudian memuat naiknya di media sosial YouTube.

Dalam erti kata lain, media sosial masa kini adalah tempat untuk menjana pendapatan.

Kini kita semua dapat melihat ramai YouTuber muda yang menjana pendapatan daripada media sosial yang semakin berkembang ini.

Dalam pada itu, Euphoriaproject juga salah satu creativepreneur dalam bentuk pameran atau bazar yang menggabungkan makanan, fesyen dan seni.

Pameran ini adalah tempat untuk orang ramai yang suka dengan aktiviti membeli-belah.

Ia diadakan dengan menyasarkan bahagian pasaran golongan belia.


BIDANG animasi dan grafik merupakan sebahagian daripada profesion dalam industri kreatif yang semakin diminati anak muda masa kini.- GAMBAR HIASAN

Barang yang dijual pastinya daripada jenama tempatan terkini dan yang sudah ada nama.

Malah, ramai creativepreneur yang berjaya dilahirkan melalui laluan pencipta kandungan (content creator).

Pencipta kandungan bukan sahaja ditakrifkan dalam bentuk video, tetapi juga penulisan.

Maka, tidak hairanlah terdapat ramai pencipta kandungan berjaya yang kini telah menjadi sebahagian daripada creativepreneur di negara ini.

Bidang tersebut semakin berkembang pada zaman sekarang disebabkan kita semua merupakan pengguna produk dan perkhidmatan kreatif berkenaan.

Malahan, industri kreatif ini terus berkembang dan menjadi perniagaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan muda.

Ini kerana, ia mempunyai potensi besar untuk terus bergerak ke hadapan bagi menjana sumber kewangan lebih kukuh.

Ini termasuk dalam bidang permainan, seni pertunjukan termasuk muzik, filem, video dan fotografi yang semakin berkembang pesat.

Dengan menjadi pemain creativepreneur, para pengusaha akan dilatih untuk menguasai kemahiran insaniah keusahawanan.

Untuk membentuk faktor inovatif, usahawan digalakkan untuk berfikir secara lebih kreatif dan berdaya saing.

Ini bermakna, mereka harus berani bermimpi, membayangkan dan memikirkan produk baharu yang diperlukan oleh ramai orang.

Mereka juga harus menguasai kemahiran hibrid iaitu keupayaan untuk menggabungkan kecekapan teknikal dan sosial.

Ini memberi gambaran, dalam menjalankan perniagaan, seseorang usahawan itu mestilah mempunyai pelbagai bakat yang boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka.

Bermula daripada kemahiran teknologi maklumat, perhubungan awam hingga kepada pemasaran, semuanya mesti mereka kuasai.

Selain itu, mereka juga perlu menguasai kemahiran teknologi.

Usahawan kreatif mesti boleh mengendalikan teknologi untuk membangunkan pameran produk, komunikasi dan juga bagi menarik pelanggan.

Begitu juga dengan pengangkutan dan pengedaran, pastikan semuanya mendapat sentuhan teknologi.
———————————————————————————————————————————————————————————
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN