fbpx
Mohammadiah (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran van elektrik EC35 di Cyberjaya semalam.

QC Fleet lancar van elektrik pada harga RM130,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – QC Fleet Marke­ting Sdn. Bhd. (QC Fleet) secara rasminya melancarkan van elektrik EC35 keluaran syarikat automotif Dongfeng Sokon Automobile (DFSK) bagi pasaran Malaysia dengan harga jualan RM130,000 seunit.

Pengerusinya, Datuk Mohammadiah Moner Ahmad Zazuli berkata, golongan peniaga boleh memanfaatkan van tersebut kerana memiliki beberapa kele­bihan seperti penjimatan tahunan sehingga 37 peratus bagi penyelenggaraan dan 78 peratus (kos bahan api harian).

“Van ini boleh dipandu sehingga 268 kilometer (km) berdasarkan rating Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia (WLTP) ataupun 200km di dalam bandar dengan bateri penuh.

“Hanya 35 minit diperlukan bagi mengecas bateri van tersebut yang menggunakan pengecas pantas DC 40kW atau antara enam hingga tujuh jam (pengecas pantas AC 6kW,” katanya pada majlis pelancaran ken­deraan tersebut di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Cyberjaya semalam.

Turut hadir Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong dan Pengarah Projek Kenderaan Elektrik PMO Tenaga Nasional Berhad, Ir. Mohd. Junaizee Mohd. Nor.

Dua model bergambar dengan van elektrik EC 35 di MARii Cyberjaya semalam.

Van itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion 38.7kWh yang menghasilkan kuasa sehingga 60kW dan tork puncak 200Nm.

Ia didatangkan dengan beberapa ciri keselamatan moden, antaranya sistem pemantauan tekanan angin di tayar serta amaran pejalan kaki.

Jentera elektrik tersebut juga ditawarkan dalam dua konfigurasi iaitu dua dan lima tempat duduk. Ia mampu membawa muatan sehingga 1,090 kilogram (kg) yang setanding dengan van dikuasakan petrol atau diesel.

Dalam pada itu, Pengurus Besar DFSK, Zhang Xingyan menerusi rakaman video berkata, pengenalan EC35 di pasaran Malaysia bermatlamat untuk mempromosikan kenderaan elektrik dan teknologi hijau di negara ini.

“Ia akan memberikan pengalaman lebih baik bagi pengguna kenderaan elektrik selain manfaat ekonomi lebih besar kepada pelanggan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, van elektrik EC35 merupakan van elektrik logistik paling laris di China pada tahun lalu ekoran ciri yang terdapat pada jentera itu seperti ruang kargo luas dan harga kompetitifnya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR