fbpx

Ibu parah ditikam anak semasa sedang tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang wanita parah selepas ditikam anak lelakinya yang dipercayai sedang sakit akibat demam dengan sebilah pisau dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Yong, Pasir Puteh dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun cedera parah pada bahagian dada kirinya dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Datuk Mohd. Nor Yazhid Idris berkata, siasatan awal mendapati, suspek bersama mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik yang sama di rumah mereka.

Menurutnya, semasa sedang tidur, bahagian dada mangsa tiba-tiba terasa sakit sebelum mendapati sebilah pisau tertusuk pada bahagian tersebut.

“Mangsa cuba memanggil suaminya yang tidur di ruang tamu namun, tidak sedarkan diri selepas mengeluarkan sendiri pisau tersebut pada dadanya.

“Siasatan awal mendapati, wanita itu telah ditikam oleh anak lelakinya menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur. Remaja itu dipercayai demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Nor Yazhid, suami mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.

Katanya, berdasarkan laporan doktor, kesan tikaman tersebut telah menyebabkan bahagian paru-paru kiri mangsa bocor sehingga mengakibatkan wanita itu kehilangan darah yang banyak sebelum dia dirujuk ke HUSM.

Ujarnya, polis telah menahan remaja tersebut dan akan mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI