fbpx
Johari kini yakin tanaman kelapa sawit mampu memberi pendapatan yang baik berbanding getah kepada keluarganya semasa ditemui di Kuala Nerang baru-baru ini.

Pekebun tebang pokok getah, mula tanam sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG – Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini nyata menggembirakan pekebun kecil kelapa sawit di sekitar Pokok Sena dan Padang Terap kerana mereka mampu memperolehi pendapatan yang lumayan.

Pendapatan lumayan ini juga menyebabkan ramai pekebun kecil getah mula ‘cemburu’ de­ngan hasil yang diperolehi oleh penanam kelapa sawit hingga menyebabkan mereka mula beralih kepada tanaman kelapa sawit.

Johari Seman, 52, dari Kampung Jelutung, Kuala Nerang berkata, pendapatan hasil getah yang tidak menentu sejak dahulu lagi menyebabkan dia mengambil keputusan bera­lih kepada tanaman sawit.

Katanya, dahulu difahamkan tanah di utara Kedah ini terutamanya Padang Terap tidak sesuai untuk tanaman kelapa sawit dan menyebabkan ramai penduduk di situ menanam getah.

“Semasa menanam getah saya hanya mampu dapat RM400 hingga RM500 sebulan.

“Kini selepas menanam kelapa sawit saya memperoleh RM2,000 hingga RM2,500 sebulan untuk kebun seluas sehektar. Dengan pendapatan ini saya akan menanam lebih banyak lagi kelapa sawit bagi menggantikan getah,” ujarnya.

Seorang petani, Zubir Othman, 54, berkata, selama bergelar pekebun getah dia dan keluarga­nya sering menghadapi masalah kewangan .

Katanya, setiap musim hujan dan kemarau mereka tidak dapat menoreh kerana kebun getah seluas 1.5 hektar yang diusahakan itu tidak mengeluarkan susu.

“Boleh dikatakan sepanjang tahun kami boleh menoreh lima bulan sahaja dan selebihnya terpaksa tinggalkan pokok begitu sahaja kerana masalah cuaca berbanding dengan kelapa sawit yang mampu jana pendapatan tidak kira musim panas atau hujan.

“Sebelum ini hasil pendapatan getah saya hanya RM600 hingga RM800 sebulan. Apabila musim hujan saya terpaksa menggantung pisau menoreh kerana tidak dapat bekerja. Ini berbanding dengan kelapa sawit buahnya lebih besar lagi pada musim hujan,” katanya yang kini mampu memperolehi sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Pendapatan lumayan hasil kelapa sawit menyebabkan Mohd. Razali Ahmad, 65, dari Pokok Sena turut akan beralih tanaman getah kepada kelapa sawit.

Katanya, selepas hampir 40 tahun bergelar penoreh pelbagai pahit maung pernah dirasainya dan tidak mahu lagi kerja itu diwarisi oleh anak-anaknya pada hari ini.

“Setiap tahun penoreh terpaksa menunggu bantuan kerajaan kerana masalah tidak dapat menoreh. Sampai bila kehidupan kami perlu mengharapkan bantuan kerajaan,” ujarnya.

POPULAR