fbpx

38 PATI seludup masuk guna laluan ladang getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 38 warga Myanmar ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini menggunakan laluan ladang getah di Bukit Kayu Hitam awal pagi ini.

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyusup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand gagal apabila mereka ditahan di sebuah ladang getah di sini awal pagi ini.

Kesemua warga asing terdiri daripada 13 lelaki dan 25 wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) pada pukul 5.45 pagi tadi.

2 Divisyen dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tangkapan kumpulan PATI tersebut dilakukan di laluan tidak sah dalam kawasan ladang getah sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Sepasukan anggota Serang dan Tangkap (Serkap) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand mengesan kelibat sekumpulan orang awam sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki mereka dan berjaya menahan seramai 38 orang awam tersebut,” katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka adalah warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kita merampas sebanyak 23 telefon bimbit dan wang tunai mata wang Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM10,498,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI