fbpx
SOPHIA ALBARAKBAH

Sophia Albarakbah sukar naik marah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAYARAN kerjaya wanita bernama Sophia Albarakbah bermula indah. Tahun-tahun pertama dalam industri, belum pernah dia terpalit sebarang kontroversi sehingga memakan diri dan menjadi bahan kecaman ramai.

Dia boleh diibaratkan sebagai bunga yang kembang mekar. Boleh dikatakan, sebagai pendatang baharu, namanya agak kukuh jika dibandingkan dengan nama-nama yang sebaris dengannya.

Mungkin juga keperibadiannya yang lemah lembut dan tidak menyusahkan banyak pihak merupakan antara faktor meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Menyingkap semula, nama Sophia pernah meledak menerusi watak Cahaya Malaika dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa dengan Aaron Aziz dan Gambit Saifullah sekitar Februari lalu.

Penangan Suamiku Lelaki Pendosa juga, Sophia semakin dikenali ramai sehingga ada yang melabelnya sebagai pelakon air mata kerana berjaya melantunkan emosi sedih dengan cemerlang dalam drama berkenaan.

Sejak ledakan watak tersebut, boleh dikatakan nilai setiap emosi dan titisan air mata menjadi sumber rezeki sehingga berjaya mendakap populariti.

SOPHIA yang juga seorang model berharap orang ramai tidak membuat perbandingan dengan setiap watak lakonannya.

Watak sedih satu kekuatan

Dilayangkan pertanyaan tentang kekerapannya menggalas karakter lemah-lembut dan air mata, aktres berusia 29 tahun itu mengakui hal tersebut.

“Mungkin sekarang ini, rezeki yang berpihak kepada saya ialah tawaran watak air mata.

“Saya okey dan tidak pernah sekali pun berasakan karakter sebegitu sebagai sesuatu yang remeh walaupun sering dijayakan.

“Setiap watak air mata yang saya pegang sebenarnya mempunyai cabaran tersendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Mencetuskan emosi sedih bukan satu hal yang sukar tetapi baginya, membuatkan penonton turut menitiskan air mata adalah sangat rumit.

“Bukan mudah nak buat orang turut bersedih dengan lakonan kita.

“Saya beri semua emosi yang ada dalam diri dan alhamdulillah setakat ini respons penonton untuk drama-drama terdahulu sangat baik,” katanya.

MASIH sama, Sophia mengakui adegan yang menuntut reaksi dan emosi marah masih menjadi cabaran terbesar buatnya. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Dalam pada itu, wanita berdarah kacukan Melayu, Cina dan Arab itu sentiasa optimis dan percaya dengan kekuatan dirinya dalam setiap lakonan.

“Jika dari sudut positif, mungkin saya kerap dapat watak sedih kerana orang melihat kekuatan seorang Sophia di situ dan percaya saya boleh jayakannya dengan baik.

“Bagaimanapun, saya tak boleh tipu diri sendiri. Jauh di sudut hati memang nak sangat pegang karakter lain tetapi masih belum ada rezeki,” ujarnya dengan ada reda.

Memasang impian untuk memegang karakter yang lebih mencabar kemampuan emosi dan fizikal seperti aksi dan psiko, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga enggan membuatkan penonton bosan dengan lakonannya.

“Sama seperti pelakon lain, saya juga mengimpikan diberi peluang untuk menggalas watak yang mencabar kemampuan diri.

“Jika terlalu kerap menggalas watak sama seperti air mata, saya yakin penonton juga akan bosan dan seperti kerjaya saya tiada improvisasi,” ujarnya.

Tambahnya, jika seorang pelakon kerap memegang watak sama berulang kali, perkara tersebut seperti satu sekatan karier untuk terus berkembang.

“Jika asyik dengan watak sama, saya tidak boleh jadi seorang pelakon versatil dan akan terikat dengan karakter air mata sahaja sehingga tidak mendapat peluang meneroka watak lain.

“Saya rasa setiap pelakon perlu diberi peluang untuk mencuba perkara baru daripada tersekat dengan satu watak sahaja. Mungkin saya juga layak untuk diberi peluang sama,” katanya lagi.

INGIN menjadi versatil, pelakon filem Pasal Kau! ini menyimpan impian menjayakan pelbagai watak selain karakter air mata.

Keserasian Keith Foo

Berkongsi tentang drama lakonan terbaharunya, Air Mata Allisya, Sophia bersyukur kerana digandingkan dengan seorang hero yang banyak membantu dalam perkembangan wataknya.

“Selalunya, apabila pertama kali bergandingan dengan mana-mana pelakon agak sukar nak cari keserasian tetapi berbeza dengan Keith.

“Dia ada satu karakter yang buatkan kami mudah bekerjasama. Walaupun saya masih baharu, dia berjaya buatkan saya rasa selesa dan keserasian itu mudah dicari.

Ditanya tentang cabarannya untuk drama tersebut, bintang filem Miimaland itu memberitahu, isunya tetap sama seperti yang pernah dikongsinya sebelum ini iaitu sukar untuk marah.

“Cabaran saya masih sama dengan naskhah terdahulu, iaitu sukar naik darah.

“Saya masih belajar untuk melakonkan watak marah dalam adegan pergaduhan. Itu masih menjadi cabaran utama saya ketika ini,” akuinya tanpa berselindung.

Sophia berharap penonton tidak membanding-bandingkan watak Allisya dengan Cahaya.

“Saya tidak boleh tipu yang memang agak tertekan untuk memberikan yang terbaik lebih-lebih lagi apabila penonton sudah meletakkan satu penanda aras selepas Suamiku Lelaki Pendosa.

“Harapnya penonton tidak membandingkan setiap karakter yang saya jayakan. Semuanya berbeza dan mempunyai cabaran tersendiri,” tutupnya.

MENERUSI drama lakonan terbaharunya, Air Mata Allisya, Sophia bersyukur kerana digandingkan dengan Keith Foo yang banyak membantu dalam perkembangan wataknya.

POPULAR