fbpx

Kerjasama Angkasa, IFFCO tingkat perolehan gerakan koperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tharun Bhargava (tiga kiri) sempena jalinan kerjasama strategik antara Angkasa dan IFFCO di sini hari ini.

PETALING JAYA – Usaha kerjasama dua hala Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) dapat meningkatkan perolehan gerakan koperasi di kedua-dua buah negara.

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pertemuan yang diadakan bersama IFFCO hari ini membuktikan keyakinan koperasi luar negara terhadap keupayaan Angkasa.

Menurutnya, IFFCO yang dimiliki penuh oleh Cooperative Societies of India merupakan pengilang baja terbesar di negara tersebut.

“Angkasa amat berbesar hati apabila koperasi terbaik dunia iaitu IFFCO hadir untuk membincangkan kerjasama strategik bagi memberi manfaat jangka panjang kepada gerakan ini.

“Antaranya kepada sektor perladangan dan pertanian serta industri asas tani di mana Angkasa akan mendapatkan bekalan baja dari IFFCO dengan harga yang berpatutan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Engku Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar IFFCO, Tharun Bhargava, Pengerusi Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO), Dileep Sanghani, Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail dan Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa.

Abdul Fattah berkata, Angkasa juga akan melihat sebarang bentuk kerjasama bagi menawarkan produk dan perkhidmatan koperasi kepada pihak IFFCO.

“Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara sentiasa berusaha menjalinkan kerjasama strategik bagi mendapatkan potensi perkongsian ilmu, kepakaran dan teknologi untuk mengembangkan perniagaan di pasaran lebih luas,” ujarnya.

Katanya, Angkasa yakin bahawa usaha ini secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang dan sumbangan terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa dan IFFCO akan ditandatangani di Persidangan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Seville, Sepanyol bagi memperkenalkan nano fertilizer (baja nano) di negara ini pada Jun nanti. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI